Wednesday, April 16, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    3,700 dimasukkan ke hospital akibat ribut pasir di Iraq

    BAGHDAD, 15 APRIL – Ribut pasir melanda Iraq dan menyelubungi udara dengan debu tebal yang memaksa penutupan beberapa lapangan terbang dan menyebabkan lebih 3,700 individu dimasukkan ke hospital akibat masalah pernafasan, kata Kementerian Kesihatan hari ini.

    Jurugambar AFP yang berada di lokasi melaporkan jarak penglihatan merosot kepada kurang satu kilometer di bandar-bandar tengah dan selatan ketika ribut menyelubungi kawasan itu dalam jerebu jingga yang suram.

    Lapangan Terbang Basra dan Najaf ditutup sepanjang tempoh ribut , yang mula reda pada pagi hari ini.

    Jurucakap Kementerian Kesihatan, Saif al-Badr berkata Basra merupakan wilayah yang paling teruk terjejas, dengan lebih 1,000 daripada 3,747 orang dimasukkan ke hospital akibat ribut pasir itu.

    Ramai penduduk yang keluar di sekitar Basra dilihat memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada debu yang menyesakkan nafas, lapor jurugambar AFP.

    Ribut pasir merupakan fenomena biasa di kawasan tengah dan selatan Iraq, namun Kementerian Alam Sekitar memberi amaran negara itu bakal menghadapi peningkatan bilangan ‘hari berdebu’ dalam masa akan datang, akibat pemanasan global.

    Pada tahun 2022, satu ribut pasir besar menyebabkan seorang maut dan lebih daripada 5,000 orang mendapatkan rawatan di hospital akibat kesukaran bernafas. – AFP

    Pemandu meneruskan perjalanan dalam keadaan penglihatan terjejas akibat ribut debu di wilayah Dhi Qar, selatan Iraq, pada 14 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda