TRIPOLI, 30 Jan – Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF), mengesahkan seramai 378,000 kanak-kanak di Libya memerlukan perlindungan dan bantuan yang mendesak pada 2018, lapor agensi berita Xinhua.
“Selepas dicengkam konflik selama tujuh tahun, keadaan kemanusiaan di Libya terus bertambah buruk, mengakibatkan 378,000 kanak-kanak memerlukan bantuan dan perlindungan sepanjang 2018,” menurut laporan dikeluarkan Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Libya.
Wakil Khas UNICEF ke Libya Abdel-Rahman Ghandour berkata, 2018 merupakan tahun penting bagi Libya, terutama untuk kanak-kanak.
“Lantaran itu UNICEF, merayu bantuan berjumlah AS$20 juta untuk membantu kami menyediakan bantuan jangka panjang kepada kanak-kanak di seluruh Libya.
“Bantuan diberikan tanpa mengira latar belakang, kewarganegaraan, jantina atau bangsa, semua kanak-kanak di Libya berhak memperoleh masa depan lebih baik,” kata Wakil Khas UNICEF ke Libya, Abdel-Rahman Ghandour.
Laporan tersebut turut mendedahkan bahawa keganasan dan konflik bersenjata memberi kesan amat buruk kepada kanak-kanak di Libya.
“Di antara 170,000 orang yang hilang tempat tinggal, kira-kira 54 peratus terdiri daripada kanak-kanak. Mereka berdepan risiko didera, keganasan, pelanggaran hak asasi manusia, terdedah direkrut kumpulan bersenjata,” jelas laporan itu.
UNICEF sasar untuk menyediakan kanak-kanak di Libya sokongan dalam bentuk perubatan dan psikologi, pendidikan, perlindungan dan perkhidmatan sanitasi serta air yang bersih.
Libya dibelenggu kekacauan politik dan ketidakstabilan sejak rejim Muammar Gaddafi digulingkan pada 2011. – Bernama