Oleh Salawati Haji Yahya –
TEMBURONG, 22 MAC – Bersempena bulan Ramadan 1445 Hijrah, pelbagai aktiviti bercorak keagamaan terus diungkayahkan oleh Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) termasuk pengagihan zakat dan sedekah beras, hari ini.
Para penerima terdiri daripada seramai 38 orang asnaf mualaf dan asnaf miskin yang bermastautin di Kampung Selapon, Daerah Temburong.
Penyampaian zakat dan sedekah itu disempurnakan Yang Dipertua MKM, Awang Mohd Yusof Shaik bin Abdul Halim di Balai Ibadat Kampung Selapon. Setiap penerima telah menerima sebanyak $200, bersama tiga guni beras dengan jumlah 30kg, makanan untuk bersungkai dan sekotak rotab sekeluarga.


