Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    38 belia sertai bengkel anjuran MABIMS

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Seramai 38 orang peserta Bengkel E to Soul pagi tadi menerima sijil masing-masing di Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Bengkel E to Soul yang diadakan di The Centrepoint Hotel, Gadong.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta ialah Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), selaku Ketua Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (Senior Officials’ Meeting – SOM) MABIMS Negara Brunei Darussalam.

    Majlis yang diungkayahkan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, KHEU telah dilaksanakan selama 3 hari bermula dari 29 Julai dan berakhir hari ini.

    Turut hadir, Awang Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU; Awang Haji Mohammad Zulhilmi bin Haji Omar Ali, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan); Prof. Madya Dr. Awang Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; serta para pegawai kanan dan pegawai di bawah KHEU.

    Antara peserta yang menerima sijil pada majlis berkenaan.

    Menurut Rosyanti binti Haji Lamat, Pemangku Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan Mabims, KHEU berkata bengkel tersebut adalah salah satu program di bawah fokus strategik ‘Potensi Belia’ dengan Negara Brunei Darussalam sebagai penyelaras bagi mencapai KPI 3.2 Rancangan Strategik MABIMS 2021-2025, iaitu Program Pertemuan Khas Serantau dan Antarabangsa Belia MABIMS dalam setahun.

    Negara Brunei Darussalam diamanahkan untuk merancang dan melaksanakan program dalam salah satu Fokus Strategik di bawah Rancangan Strategik MABIMS 2021-2025 iaitu Potensi Belia yang mengetengahkan 4 tema utama iaitu Belia Holistik, Belia Usahawan, Belia Global dan Belia Da’ie. Dalam merungkai 4 tema ini, Bengkel E to Soul yang dianjurkan ini mengkhususkan kemahiran berkomunikasi.

    Empat buah negara MABIMS telah menghantar penyertaan yang terdiri dari 22 peserta dari Negara Brunei Darussalam, 5 peserta dari Republik Indonesia, 6 peserta dari Malaysia dan 5 peserta dari Republik Singapura.

    Sepanjang bengkel ini, para peserta didedahkan kepada asas dan teknik berdakwah, kemahiran berbahasa dan komunikasi yang berkesan. Mereka juga diajar cara-cara mencipta pengisian dakwah dan para peserta telah menghasilkan video ringkas berkaitan dengan dakwah secara berkumpulan di akhir bengkel.

    Bengkel berkenaan turut menjemput beberapa fasilitator dari Negara Brunei Darussalam dan juga Malaysia antaranya, Ustazah Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan dari Pusat Da’wah Islamiah; Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Md Adam @ Chong dari Matters.oc; dan  Ustaz Mohd Hariri bin Haji Mohd Daud dari Jabatan Kemajuan Islam, Malaysia.

    Gambar ramai antara peserta bengkel dan tetamu kehormat seusai majlis berkenaa. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda