Thursday, November 28, 2024
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    38 keluarga mangsa bencana terima sumbangan Yayasan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Sumbangan sebanyak $38,050.00 daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah diberikan kepada 38 buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran, rumah roboh dan bencana angin kencang di beberapa buah kampung di seluruh negara.

    Majlis penyampaian sumbangan berkenaan telah diadakan pagi tadi di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis iaitu Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad yang juga selaku Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada mangsa musibah kebakaran, Awang Zulshahri bin Haji Abdullah dari Kampong Lambak ‘A’ dan diikuti kepada mangsa musibah rumah roboh, Awang Mohammad @ Sulaiman bin Haji Ibrahim dari Kampong Tamoi Ujong dan juga kepada Awang Haji Saili @ Suhaili bin Bujang, Kampong Setia ‘B’.

    Seterusnya, sumbangan disampaikan kepada 35 mangsa musibah angin kencang yang juga disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan juga selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Bantuan berkenaan disampaikan bagi meringankan beban mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dari semasa ke semasa memberikan pemedulian terhadap golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah seperti kebakaran rumah, rumah roboh dan bencana angin kencang. 

    Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ialah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ahli kerabat baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih baginda kepada rakyat baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi hadir selaku tetamu kehormat majlis berkenaan.
    Antara yang hadir ke majlis berkenaan.

      Antara penerima sumbangan dari Yayasan pada majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda