PUTRAJAYA , 26 APRIL – Sejumlah 100 kes COVID-19 telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih dan discaj di Malaysia ialah 3,862 kes, iaitu 66.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, manakala tidak ada kes kematian dilaporkan.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes yang dibenarkan discaj hari ini hampir dua kali ganda bilangan kes yang dilaporkan.
“Sehingga 26 April pukul 12 tengah hari, terdapat 38 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 5,780 kes.
Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,820 kes,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.
Beliau berkata jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 98 kes (1.70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, seramai 36 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 15 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata seramai 21,466 orang telah menjalani ujian COVID-19 di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sehingga 12 tengah hari ini. – Bernama