DAKAR, 8 JAN – Seramai 38 maut, manakala 87 yang lain cedera apabila dua buah bas bertembung berhampiran bandar Kaffrine di tengah Senegal, kelmarin, kata seorang pegawai bomba kepada AFP.
“Ia merupakan satu kemalangan yang serius,” kata Kolonel Cheikh Fall, orang yang bertanggungjawab dalam operasi untuk Pasukan Bomba Kebangsaan negara Afrika Barat itu.
“Terdapat 125 mangsa, 38 daripadanya telah meninggal dunia.”
Susulan kemalangan tersebut, yang berlaku di jalan raya kebangsaan nombor satu pada 3:15 pagi waktu tempatan, semua mangsa telah dipindahkan ke hospital dan pusat perubatan di Kaffrine.
“Serpihan dan bangkai bas-bas tersebut telah dibersih-kan dan trafik telah berjalan semula seperti biasa. Gabenor dan pegawai-pegawai tempatan telah melawat tempat kejadian,” tambahnya.
Kemalangan jalan raya adalah satu perkara biasa di Senegal, kebanyakannya terjadi kerana pemandu yang tidak berdisiplin, keadaan jalan raya yang teruk serta kenderaan yang usang, kata pakar.
Walau bagaimanapun, kemalangan kali ini merupakan antara nahas yang paling teruk dengan angka kematian yang tinggi daripada satu insiden yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini. – AFP


