KINSHASA, 23 DIS – Sebuah feri sarat dengan penumpang yang ingin pulang ke kampung halaman untuk Hari Natal telah karam di Sungai Busira di timur laut Congo, menyebabkan 38 orang disahkan maut dan lebih 100 lagi hilang, kata pegawai dan saksi Sabtu lalu. Kira-kira 20 orang telah diselamatkan setakat ini.
Feri karam Jumaat lalu berlaku kurang empat hari selepas sebuah lagi bot karam di timur laut negara itu, di mana ia telah mengorbankan 25 orang.
Feri itu sedang dalam perjalanan sebagai sebahagian daripada konvoi kapal dan penumpangnya adalah terdiri daripada peniaga yang ingin pulang ke rumah untuk Hari Natal, kata Datuk Bandar Ingende, Joseph Joseph Kangolingoli.
Menurut penduduk Ingende, Ndolo Kaddy, feri itu mengandungi lebih 400 orang semasa ia singgah di dua pelabuhan, Ingende dan Loolo, dalam perjalanan ke Boende, jadi dipercayai lebih banyak mangsa lagi yang terkorban.
Pegawai Congo sering memberi amaran terhadap bot yang lebih muatan dan berjanji untuk menghukum mereka yang melanggar langkah keselamatan di sungai. Walau bagaimanapun, di kawasan terpencil ramai orang tidak mampu untuk membeli pengangkutan awam di jalan raya yang sedikit itu.
Kira-kira 78 orang mati lemas Oktober lalu apabila bot lebih muatan karam di timur negara itu manakala 80 orang kehilangan nyawa dalam kemalangan serupa berhampiran Kinshasa Jun lepas.
Kemalangan terbaharu itu telah mengakibatkan kemarahan kepada kerajaan kerana tidak melengkapkan konvoi tersebut dengan alat pengapungan. – AP