Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    38 Pengakap Remaja tamat kursus

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Seramai 38 orang ahli Pengakap Remaja telah berjaya menamatkan Kursus Kepimpinan Pengakap Remaja bagi ahli Pengakap Remaja di Tahun 10 dan menerima sijil masing-masing pada majlis yang berlangsung di Pusat Latihan dan Kegiatan Pengakap Kebangsaan, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Jalan Gadong, kelmarin.

    Hadir bagi menyampaikan sijil kepada peserta kursus ialah Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pegawai penyelaras Pasukan Pengakap Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan dari Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap daerah, pemimpin-pemimpin dan penolong pemimpin pasukan Pengakap Remaja.

    Kursus tiga hari dua malam yang bermula pada 26 April lalu itu, dianjurkan oleh PPNBD melalui Bahagian Pengakap Remaja dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan yang dihasratkan untuk menyerlahkan lagi sifat kepimpinan dalam kalangan generasi muda yang akan menerajui kepimpinan masa hadapan.

    Kursus itu disertai oleh seramai 38 orang ahli Pengakap Remaja daripada 11 buah sekolah menengah kerajaan dan sekolah menengah pendidikan swasta iaitu Sekolah Menengah (SM) Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, SM Sayyidina Abu Bakar, SM Menglait, SM Berakas, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri, SM Awang Semaun, SM Rimba, Sekolah Sukan, Maktab Anthony Abell, SM Chung Hwa dan Sekolah St Andrew.

    Haji Awang Badar bergambar ramai bersama jurulatih kursus, pesuruhjaya pengakap, pemimpin Pengakap Remaja dan peserta kursus.

    Kursus yang bermatlamat bagi memberi pendedahan kepada peserta supaya dapat mengetahui serta memahami peranan dan tanggungjawab yang perlu mereka lakukan semasa menjalankan tugas sebagai seorang ahli Pengakap Remaja yang berkesan.

    Ia juga bermatlamat untuk menguji kebolehan dalam memimpin dan melatih ahli-ahli baharu dalam kalangan ahli Pengakap Remaja dan Pengakap Muda dalam pasukan pengakap di sekolahnya serta berinteraksi dengan lebih berkesan di kalangan ahli-ahli Pengakap Remaja, ahli Pengakap Muda dan ketua-ketua patrol yang lain. Di samping itu, para peserta telah dapat mempelajari kemahiran dan pengalaman baharu semasa berkhemah.

    Kursus Kepimpinan Pengakap Remaja ialah satu keperluan bagi melatih di peringkat pertengahan dalam kepimpinan berpengakap.

    Program kursus merangkumi beberapa latihan keyakinan untuk berinteraksi, kepimpinan dan kemahiran seperti kemahiran dalam kerjasama berpasukan iaitu Sistem Berpatrol.

    Sepanjang kursus berkenaan, 19 sesi dijalankan termasuk mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai Pengakap Remaja, Organisasi dan tugas-tugas Jawatankuasa Pengakap Remaja, mengendalikan mesyuarat jawatankuasa, merancang program, bagaimana melatih ahli-ahli baharu, jenis-jenis perkhidmatan yang boleh diberikan, bagaimana menambah tabung pasukan Pengakap Remaja, Skim Lencana Pengakap Remaja, forum Pengakap Remaja serta sistem berpangkalan yang memberi banyak kemahiran, kepimpinan dan latihan dalam Pasukan Pengakap Remaja, latihan kawad kaki, ceramah motivasi mengenai pengurusan masa, kemahiran simpulan dan ikatan dengan membina model projek perintis, kemahiran membaca peta dan kompas, Malam Pengakap Remaja serta pelbagai kegiatan kepimpinan.

    Para peserta kursus juga secara individu telah diberikan tugasan untuk membentangkan kerja-kerja kumpulan yang telah dijalankan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda