BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Seramai 38 orang peserta dan ahli jawatankuasa Persatuan Kami Prihatin (WeCare) telah menghadiri Program Humanitarian Camp: Nextgen Heroes – Unity in Action anjuran persatuan berkenaan yang diadakan pada 28 hingga 29 September lalu di Kompleks Sukan Sungai Kebun.
Program itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran belia Brunei mengenai isu-isu kemanusiaan serta berkongsi pengalaman projek bantuan yang telah dilaksanakan di dalam dan luar negara.
Ia juga diharap dapat melahirkan generasi baharu sukarelawan yang aktif dalam menggerakkan program amal dan kesedaran.
Sepanjang program tersebut, pelbagai perkongsian dan aktiviti telah dijalankan, termasuk sesi yang memberikan penekanan terhadap persediaan menjadi sukarelawan dan peranan penting mereka dalam menangani isu-isu kemanusiaan.
Para peserta turut didedahkan kepada fungsi dan tanggungjawab Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) sebagai peneraju dalam isu bencana di negara ini.
Selain itu, mereka turut menyertai aktiviti kerja berpasukan yang dipimpin oleh BeManfaat serta forum yang melibatkan ahli panel dari Humanitarian Care Malaysia (MyCare) dan Persatuan Kemajuan Insan (KESAN).
Para peserta juga berpeluang untuk mendengar ceramah khas bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul yang disampaikan oleh penceramah dari Pusat Dakwah Islamiah (PDI) yang menyentuh mengenai nilai-nilai kemanusiaan yang dicontohi oleh Rasulullah SAW yang diadakan di Masjid Kampung Burong Pingai Ayer bersama-sama jemaah masjid.
Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil yang telah disempurnakan oleh Ahli Mesyuarat Negara (MMN),Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, bersama ahli lembaga penasihat persatuan dan pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan.