Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Seramai 38 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) serta jabatan-jabatan di bawahnya menerima Pingat Kerja Lama (PKL) dan diraikan Majlis Penyampaian Pengurniaan PKL sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-77 Tahun bagi 2023 yang berlangsung di Dewan Pengiran Lela Cheteria, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jalan Menteri Besar, Berakas, Bandar Seri Begawan, kelmarin.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian pingat-pingat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, pemangku setiausaha-setiausaha tetap, Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan dan pegawai dan kakitangan yang raikan.
Seramai 38 orang telah menerima PKL, terdiri daripada kalangan pegawai dan kakitangan MOFE serta jabatan-jabatan di bawahnya termasuk pegawai dan kakitangan daripada Pejabat Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Majlis diadakan sebagai penghargaan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan yang telah berkhidmat lebih daripada 20 tahun bagi mengenang jasa dan bakti yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan.