Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Sejak pembukaan kaunter perkhidmatan permohonan pendaftaran sijil kelahiran, kematian dan anak angkat di Dewan Muhibbah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara dan Bangunan Serbaguna Persiaran, Kuala Belait pada 26 November lalu, sebanyak 383 permohonan telah diterima setakat hari ini.
Daripada jumlah itu, 302 permohonan telah diterima di Dewan Muhibbah manakala sebanyak 81 permohonan pula diterima di Bangunan Serbaguna Persiaran, menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), hari ini.
Kenyataan menjelaskan bahawa pada masa ini, perkhidmatan kaunter bagi permohonan sijil kelahiran dan sijil kematian dijalankan mengikut tempat dan kaedah tempahan slot perjanjian.
Bagi mereka yang berhasrat mendapatkan perkhidmatan di kaunter Dewan Muhibah, bolehlah melakukan tempahan slot perjanjian awal melalui e-mel kkaa.sectionhq@immigration.gov.bn atau menghubungi talian telefon 2382627 atau hotline 7299591.
Waktu operasi adalah Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 8:15 pagi hingga 4 petang manakala itu, Jumaat dan Ahad dari 8:15 pagi hingga 11 pagi dan 2:30 petang hingga 4 petang.
Bagi cawangan Daerah Belait iaitu kaunter Bangunan Persiaran dan cawangan Kuala Belait pula, orang ramai boleh membuat tempahan dengan menghantar e-mel kepada nationalregistration.kb@immigration.gov.bn atau menghubungi talian 3335365.
Waktu operasi perkhidmatan di kaunter Bangunan Persiaran adalah pada Jumaat sahaja dari 8:15 pagi hingga 11 dan 2:30 petang hingga 4 petang. Kaunter cawangan Kuala Belait pula dibukakan setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 8:15 pagi hingga 3:30 petang.
Sementara itu, kaunter perkhidmatan cawangan Daerah Tutong pula dibuka setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari 8:15 pagi hingga 11 pagi di mana orang ramai boleh mendapatkan tempahan awal dengan menghubungi talian 4221476 atau 4221251.
Cawangan di Daerah Temburong juga dibukakan setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari 8:15 pagi hingga 11 pagi dan menghubungi talian 5221222 untuk membuat tempahan.
Oleh yang demikian, JIPK mengalu-alukan orang ramai untuk membuat tempahan slot perjanjian awal sepertimana yang dinyatakan dan disarankan untuk memastikan dokumen-dokumen yang diperlukan adalah lengkap tersedia sebelum menghadirkan diri pada hari permohonan yang ditetapkan.