Oleh Salawati Haji Yahya, Yusrin Junaidi, Siti Nur Wasimah S & Syahmi Hassan
Gambar Bahyiah Bakir & Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Seramai 38,437 orang berjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat diraja yang lain pada hari pertama Istana Nurul Iman dibuka untuk kunjungan orang ramai, hari ini.
Daripada jumlah tersebut seramai 18,930 orang berkunjung pada sebelah pagi dan 19,507 orang pada sebelah petang, yang mana jumlah tersebut membuktikan ketaatan dan kasih sayang rakyat dan penduduk negara ini terhadap raja yang dikasihi dan kerabat diraja yang lain.
Mengiringi Baginda Sultan untuk menerima junjung ziarah daripada tetamu lelaki ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.
Sementara itu, di ruang lain istana, mengiringi Baginda Raja Isteri menerima junjung ziarah daripada tetamu wanita ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah, Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.


Baginda Raja Isteri dan YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menerima junjung ziarah daripada pengunjung perempuan.

Juga berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam serta cucunda-cucunda Baginda.
Pada sebelah petang, sebelum me-nerima junjung ziarah, Baginda Sultan berkenan menerima mengadap Menteri Negara Kanan, Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kementerian Pertahanan, Republik Singapura, Dr. Mohamad Maliki bin Osman.
Berangkat sama, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir, YTM Duli Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim, YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel serta kerabat diraja yang lain.
Sementara itu, di ruang lain istana, mengiringi Baginda Raja Isteri ialah YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah, YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul Adawiyyah, YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dan YTM Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.
Juga berangkat, YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam serta cucunda-cucunda Baginda.
Para pengunjung pada sebelah petang terdiri daripada warga beberapa buah kementerian termasuk Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, pegawai-pegawai kerajaan dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Sebelum menunggu giliran menjunjung ziarah kehadapan majlis Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang lain, pengunjung terlebih dahulu menikmati jamuan yang disediakan di ruang lain istana.
Setelah selesai menjunjung ziarah, para pengunjung kemudian diberikan buah tangan sebagai cenderahati kenangan sempena kunjungan mereka ke Majlis Terbuka Istana Nurul Iman.
Tidak ketinggalan untuk memeriahkan suasana junjung ziarah berkenaan ialah pelancong luar dengan senyuman yang tidak lekang di bibir kerana berpeluang untuk menatap wajah Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja lain dengan lebih dekat lagi sebagai kenangan yang tidak mudah dilupakan kerana peluang seumpama ini jarang diperolehi.
Istana Nurul Iman akan dibuka lagi esok dan lusa bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari dan mulai 2 hingga 4 petang bagi membolehkan orang ramai mengadap dan menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja sempena Aidilfitri.