Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    388 karya diterima bagi peraduan menulis karangan DBP

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Sebanyak 388 buah karangan telah diterima daripada 365 orang peserta bagi Peraduan Menulis Karangan Majalah Naindung.Mekar.Juara Pelajar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2023.
     
    Daripada jumlah itu, 174 karangan bagi Kategori A, 108 bagi Kategori B, 82 bagi Kategori C dan 24 bagi Kategori D.
     
    Sehubungan itu, majlis penyampaian hadiah bagi peraduan berkenaan telah diadakan hari ini di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas di mana hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.
     
    Enam orang pemenang bagi setiap ka-tegori dipilih untuk menerima hadiah penghargaan berupa wang tunai, plak, sijil dan majalah terbitan DBP. 
     
    Bagi Peraduan Menulis Karangan Majalah Mekar 2023, Kategori A dijuarai oleh Dayang Nur Ayesha Irdhina binti Mohammad Shahrol Azren @ Ameerah Taqiyah dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
     
    ATAS & BAWAH: Pengiran Haji Mohd Hasnan menyampaikan hadiah kepada para pemenang peraduan anjuran DBP. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA


    Pengiran Haji Mohd Hasnan melancarkan tujuh buah buku terbaharu terbitan DBP. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Kategori B Peraduan Menulis Karangan Majalah Mekar.Juara Pelajar 2023 dijuarai oleh Javien Chong Xian Wen dan Lim Qi En memenangi Kategori C, kedua-duanya dari Sekolah St Andrew.
     
    Sementara itu, tempat pertama bagi Kategori D, Peraduan Menulis Karangan Majalah Naindung 2023 dimenangi oleh Dayang Nurfarzana Wajihah binti Mohamad Ariffin dari Sekolah Ugama Amar Pahlawan.
     
    Majlis turut menyaksikan penyampaian Hadiah Penghargaan Penyertaan Sekolah Terbaik dan Hadiah Penghargaan Penjualan Majalah Terlaris 2023.
     
    Peraduan berkenaan merupakan antara usaha jabatan dalam memupuk dan menarik minat penulis untuk berkarya menerusi media sosial dan berinovasi dalam merancakkan industri kreatif 4.0.
     
    Pada majlis itu, tetamu kehormat turut melancarkan tujuh buah buku terbaharu terbitan DBP iaitu tiga buah buku di bawah Semarak Juara berjudul Tinta Remaja, Inspirasi Bijak dan Mengenali Gaya Bahasa dalam Penulisan Kreatif, sementara itu, empat buah buku lain bertajuk Seribu Liku ke Menara Gading, Menelusuri Arus Seni Silat Cakak Asli Brunei, Introspeksi: Bina Keyakinan Diri dan Tik Tik Lor: Titian Patah.
     
    Majlis turut diserikan dengan persembahan mari bercerita daripada pelajar Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Mohd Khairun Azfar bin Mohd Zaiful Rizan selaku juara Pertandingan Mari Bercerita Warisan Brunei 2023.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...