Thursday, November 14, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    39 terbunuh dalam serangan menyasarkan etnik Punjabi

    QUETTA, PAKISTAN, 26 OGOS – Militan pemisah membunuh sekurang-kurangnya 39 orang dalam serangan ‘berkoordinasi’ di barat daya Pakistan hari ini yang sebahagian besarnya menyasarkan etnik Punjabi, kata pegawai-pegawai kerajaan.

    Tentera Pakistan berkata, 10 askar turut terbunuh, walaupun tidak menjelaskan sama ada mereka mati dalam serangan asal atau operasi pembersihan susulan.

    Pegawai-pegawai kerajaan melaporkan serangan-serangan maut di beberapa daerah yang menyasarkan orang awam di Balochistan yang miskin, di mana pasukan keselamatan sedang memerangi keganasan perbezaan fahaman, etnik dan pemisah.

    Tentera Pembebasan Balochistan (BLA), kumpulan militan paling aktif di wilayah itu, mengaku bertanggungjawab melakukan operasi semalaman dalam satu kenyataan yang dihantar kepada AFP.

    Berpuluh-puluh militan menghentikan kenderaan yang melalui lebuh raya merentasi wilayah Balochistan dan menembak mati 23 orang dalam salah satu serangan berkenaan, salah satu tembakan paling teruk di wilayah itu sejak beberapa tahun lalu.

    Anggota keselamatan berdiri berhampiran kenderaan-kenderaan yang hangus di lokasi tembakan di lebuh raya di daerah Musakhail, wilayah Balochistan, kelmarin. – AFP

    “Kami telah mengesahkan 39 orang terbunuh dalam beberapa serangan berkoordinasi yang dilakukan oleh pengganas BLA,” Shahid Rind, jurucakap kerajaan wilayah Balochistan, memberitahu AFP.

    Di daerah Musakhail, antara 30 dan 40 lelaki bersenjata memberhentikan 22 bas, van dan trak satu demi satu di lebuh raya yang menghubungkan Punjab dengan Balochistan, kata pegawai kanan Najibullah Kakar.

    “Kenderaan-kenderaan yang dalam perjalanan ke dan dari Punjab diperiksa, dan individu dari Punjab dikenal pasti dan ditembak,” katanya kepada AFP.

    BLA berkata, dalam kenyataannya ia telah melancarkan operasi “di lebuh raya merentasi Balochistan,” mendakwa hanya menya-sarkan anggota keselamatan.

    Kenyataan awal daripada kumpulan itu yang diterbitkan hari ini selepas tengah malam memberi amaran kepada orang ramai Baloch supaya menjauhi lebuh-lebuh raya, sambil menambah bahawa “perjuangan mereka adalah menentang tentera Pakistan yang menduduki”.

    Militan juga meletupkan jambatan kereta api di daerah Bolan berdekatan di landasan yang menghubungkan wilayah itu ke Punjab dan Sindh, dengan enam mayat ditemui berdekatan, kata Javed Baloch, seorang pegawai kanan kerajaan di daerah itu.

    Sepuluh orang turut terbunuh di daerah Kalat, termasuk empat pegawai separa tentera dan seorang anggota polis, kata jurucakap kerajaan wilayah Rind.

    Nabi Baksh, dari pasukan separa tentera Levies yang bekerja bersama polis, berkata bahawa lelaki bersenjata telah menyerbu sebuah hotel dan turut menyasarkan seorang warga emas kampung yang dianggap mempunyai kaitan dengan pasukan keselamatan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda