Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Sebanyak 39 vendor Thai dari Thailand dan Brunei telah menyertai bazar jualan pelbagai produk makanan, aiskrim, sayur-sayuran hidroponik, pakaian, barang kemas, peralatan kereta dan lainnya dalam acara Thailand Bazaar yang berlangsung di Atrium, Tingkat Satu, Pusat Beli-belah OneCity, hari ini.
Hadir merasmikan acara tersebut ialah tetamu kehormat iaitu bakal Duta Besar Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Boosara Kanchanalai dan Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.
Bazar anjuran Kedutaan Diraja Thailand dengan kerjasama Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa di Kuala Lumpur, Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand, Pejabat Kuala Lumpur, Pejabat Atase Pertahanan, Bandar Seri Begawan dan Office of Labour Affairs, Bandar Seri Begawan itu juga menampilkan produk halal, platform halal e-dagang, logistik halal dan perkhidmatan, selain pertunjukan ukiran buah-buahan.
Pertunjukan demonstrasi makanan dan kraf tangan dipersembahkan kepada para pengunjung sepanjang acara empat hari tersebut pada jam 11 pagi hingga 12 tengah hari, 2 hingga 3 petang dan seterusnya pada jam 4 hingga 5 petang.
Semasa majlis perasmian berkenaan, Boosara Kanchanalai turut menyampaikan ucapannya.



