Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    39 warga asing lari daripada sindiket penipuan di Myanmar

    BANGKOK, 25 NOV – Seramai 39 warga asing hari ini berjaya melarikan diri dari sebuah pusat penipuan dalam talian di Myanmar dan menyeberangi sempadan ke Thailand.

    Pihak berkuasa Thailand kini sedang berusaha mengenal pasti mangsa yang berpotensi menjadi mangsa pemerdagangan manusia, kata polis kepada AFP hari ini.

    Operasi penipuan dalam talian semakin bertambah di kawasan sempadan Myanmar, sering membabitkan warga asing yang diperdagangkan dan dipaksa bekerja, menipu rakan senegara mereka dalam industri yang menurut penganalisis bernilai berbilion dolar.

    Kumpulan tersebut, yang terdiri daripada rakyat Sri Lanka, Nepal, Malaysia dan Rusia, menyeberang ke wilayah Tak di Thailand, menurut Ketua Polis di bandar Mae Sot di Thailand, Kolonel Pittayakorn Petcharat.

    Mereka melarikan diri dari Myawaddy, sebuah kawasan di seberang sempadan, yang dikawal oleh militia yang bersekutu dengan tentera dan dikenali sebagai pusat pengeluaran dadah serta operasi penipuan dalam talian, menurut pemerhati.

    Pemandangan bandar Myawaddy Myanmar dilihat dari seberang bahagian Thai di Daerah Mae Sot pada 11 April lalu. – AFP

    Kedutaan Sri Lanka di Bangkok meminta bantuan pihak berkuasa Thailand selepas dimaklumkan bahawa 32 warganya terperangkap di Myanmar, kata Pittayakorn.

    Selain itu, lima rakyat Nepal, seorang rakyat Malaysia dan seorang rakyat Rusia turut berada dalam kumpulan yang berjaya melarikan diri dan tiba di Thailand.

    Kumpulan tersebut menyeberang ke Thailand malam kelmarin, menurut seorang anggota pasukan keselamatan di Mae Sot, yang enggan dikenali. Pegawai imigresen kini sedang mengenal pasti potensi mangsa pemerdagangan manusia, tambah Pittayakorn.

    Media tempatan Thailand melaporkan bahawa kumpulan itu telah tertarik dengan iklan di media sosial yang menjanjikan pekerjaan bergaji tinggi, tetapi akhirnya dipaksa bekerja dalam keadaan yang sukar oleh sindiket penipuan itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda