Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    391 graduan LCB dirai

    Oleh Ak Zaki Kasharan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Seramai 391 orang pelajar Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) mengorak langkah ke hadapan dan memulakan perjalanan alam pekerjaan setelah berjaya menamatkan pengajian mereka dan diraikan dalam Majlis Konvokesyen LCB bagi 2023 di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Para graduan yang diraikan adalah pelajar yang menamatkan pengajian Ijazah University of Chester dan Pengajian Sijil Pearson BTEC, KCB dan City and Guilds sesi 2023.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para graduan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe, para pegawai dari Kementerian Pendidikan iaitu dari Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan, Jabatan Pengajian Tinggi, dan Jabatan Sekolah-sekolah serta para tetamu dari Pusat Pembangunan Belia di samping pensyarah LCB dan ibu bapa serta keluarga graduan yang diraikan.

    Pengarah dan Pengetua LCB dan Kensington College of Business, Ian Pirie dalam ucapannya mengongsikan perkembangan baharu di LCB, antaranya menjalin kerjasama baharu bersama Universiti Essex dalam bidang pengurusan perniagaan, pemasaran, perakaunan, sains komputer dan pengurusan pelancongan antarabangsa di Brunei.

    ATAS & BAWAH : Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyampaikan sijil kepada para graduan. – Gambar oleh Rafi Rosli
    Gambar oleh Rafi Rosli
    ATAS & BAWAH : Graduan LCB dengan bangga menunjukkan sijil-sijil yang diterima pada majlis berkenaan. – Gambar oleh Rafi Rosli
    Gambar oleh Rafi Rosli

    Kerjasama dengan Essex juga telah membolehkan untuk menyediakan akses kepada ijazah undang-undang United Kingdom (UK) buat kali pertama bagi dipelajari sebahagiannya di Brunei.

    Beliau turut mengongsikan bahawa LCB telah melaksanakan beberapa kerja pembangunan utama ke atas kampusnya memandangkan ia terus mengembangkan kursus dan bilangan pelajarnya.

    Pada masa yang sama, beliau juga mengongsikan pencapaian yang diraih oleh LCB dalam pelbagai peringkat termasuk dalam kursus ijazah sarjana muda dan vokasional.

    Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyampaikan sijil tamat pengajian kepada seramai 36 orang graduan BA Perakaunan dan Kewangan, 39 graduan BA Pengurusan Perniagaan, sembilan graduan BA Pemasaran, dua graduan BA Pengurusan Acara, empat graduan BA Pengurusan Pelancongan Antarabangsa; 17 orang graduan BA Sains Komputer; enam orang graduan BA Pengkomputeran Gunaan; dan tiga orang graduan BA Kejuruteraan Perisian.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah seterusnya menyampaikan sijil tamat pengajian bagi graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam kursus foundation, higher diploma, advanced diploma, diploma, sijil, BTEC Level 5 HND, BTEC Level 3 National Diploma, BTEC Level 3 Diploma, BTEC Level 2 Certificate, Level 2 Diploma dan Level 3 Advanced Diploma.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda