Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    3B bantu perkembangan kanak-kanak

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Perkembangan kanak-kanak bermula daripada jangka masa sebelum konsepsi atau pre-conception period hinggalah pada tahun-tahun pertama kehidupan kanak-kanak.

    Pertumbuhan sel-sel otak berlaku dengan cepat pada masa tersebut dan ianya menjadi asas terpenting dalam perkembangan kognitif dan sosioemosi kanak-kanak.

    “Jangka masa inilah yang amat baik untuk dimanfaatkan dalam merubah hasil perkembangan untuk setiap kanak-kanak dan kejayaan mereka pada masa akan datang,” kongsi Konsultan Pediatrik, Pusat Perkembangan Kanak-kanak (CDC), Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Mawarni binti Haji Abdul Hamid semasa menyampaikan ucapan pada Jerayawara OK Kah Anakku? anjuran CDC di Pusat Membeli-belah OneCity, Kampung Salambigar, hari ini.

    Oleh yang demikian, terdapat tiga pendekatan perlu dilakukan oleh golongan ibu bapa atau penjaga untuk terus meningkatkan perkembangan otak anak-anak mereka secara positif melalui ketiga-tiga strategi 3B iaitu Banyak Bawa Bermain, Banyak Bawa Bercakap dan Banyak Bacakan Buku.

    Beliau selaku pengerusi majlis turut menekankan bahawa walaupun pendekatan itu nampak mudah, sebenarnya terdapat bukti saintifik ketiga-tiga strategi 3B ini sangat berkesan dalam membantu mempertingkatkan perkembangan otak kanak-kanak.

    Dr Hajah Mawarni semasa menyampaikan ucapan pada Jerayawara ‘OK Kah Anakku? – Gambar oleh Nurdiyanah R.

    Banyak membawa kanak-kanak bercakap, bermain dan membacakan buku sejak lahir adalah amat penting kerana lima tahun pertama kanak-kanak adalah masa bilamana perkembangan otak kanak-kanak berlaku dengan pesatnya.

    Para ibu bapa disarankan untuk merebut peluang keemasan ini, tekannya lagi.

    “Mungkin ada di antara ibu bapa di sini yang baru hendak terfikir, mungkin sudah terlambat kerana ketika ini anak mereka sudah besar atau kurang meluangkan masa bersama anak kerana sibuk bekerja. Tetapi jangan khuatir, belum lagi terlambat kerana otak kanak-kanak sebenarnya mudah diolah,” ujar Dr Hajah Mawarni.

    Menurutnya lagi, perkembangan otak boleh diolah menerusi neuroplasticity iaitu keupayaan fungsi otak kanak-kanak boleh diperbaiki bila diperlukan.

    Dalam pada itu, beliau turut meyakini bahawa kanak-kanak masa depan negara dan kesemuanya bermula dari rumah.

    Ketiga-tiga strategi 3B sebenarnya boleh menyokong hasrat negara untuk mencapai wawasan 2035 Negara Brunei Darussalam dan juga matlamat pembangunan mapan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda