CAPE CANAVERAL, 5 SEPT – Pemerhatian teleskop mendedahkan ekor panjang daripada sebuah komet yang datang berkunjung dari bintang lain.
Gambar yang dikeluarkan Khamis lalu itu, diambil oleh teleskop Gemini South di Chile pada penghujung bulan lepas, merupakan rakaman paling terperinci setakat ini bagi komet yang baru ditemui.
Ia menunjukkan koma besar berisi debu dan gas mengelilingi bebola ais ketika ia meluncur ke arah matahari serta ekor yang lebih panjang berbanding gambar terdahulu.
Gambar baharu itu turut mengesahkan komet tersebut semakin aktif ketika ia bergerak tidak berbahaya melalui sistem suria kita, menurut NOIRLab, yang dikendalikan oleh Yayasan Sains Negara (NSF).
Tambah NSF, ia hanya objek antara bintang ketiga yang diketahui dalam perjalanan menuju ke bumi.
Setakat kelmarin, komet yang dikenali sebagai 3I-Atlas itu dapat dilihat berada sejauh 238 juta batu dari Bumi dan semakin menghampiri, menurut NASA.
Ia dijangka membuat lintasan paling hampir dengan matahari pada penghujung Oktober, sebelum menghampiri Bumi pada Disember pada jarak 167 juta batu iaitu lebih jauh dari Bumi berbanding Matahari. – AP


