Oleh Siti Nur Wasimah S & Sim Y.H
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt – Dengan perlaksanaan Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) diharapkan akan memberikan impak positif terhadap Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam.
Di samping itu menggalakkan pendekatan ‘results oriented’ dan persaingan sihat antara agensi kerajaan, meningkatkan motivasi dan mendorong budaya kerja berpasukan warga perkhidmatan awam.
Harapan ini disuarakan oleh Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Awang Muhammad Saufi bin Haji Ibrahim semasa ditemui pada Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-25 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini, hari ini
Sebelum itu, beliau menyatakan bahawa pada dasarnya, 3PSA melihat sepenuhnya terhadap perkhidmatan yang ditawarkan kepada orang ramai oleh Jabatan Buruh.
Menurutnya lagi, 3PSA terletak pada semua aspek termasuk sumber manusia, perkhidmatan dan juga prosedur dalaman dan alat yang digunakan untuk meningkatkan perkhidmatan kepada orang ramai.


Dalam memperolehi program tersebut, tambah beliau, jabatan berkenaan haruslah sentiasa memperbaiki diri dan bersikap terbuka untuk menerima ulasan-ulasan daripada pihak-pihak tertentu dalam meningkatkan lagi perkhidmatan jabatan tersebut.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Dayang Liza Suriani binti Haji Ibrahim pula menyatakan, sejak Program 3PSA melalui penarafan bintang diperkenalkan, ia telah membantu jabatan tersebut untuk mengetahui dan diaudit bagi pihak luar.
“Dengan program ini, kadang-kadang memang tidak disedari akan kelemahan sendiri dan dengan kelebihan yang sudah ada, para individu tidak seharusnya bersikap berpuas hati dan sentiasa bersikap lebih fokus untuk memperbaiki diri sendiri.”
Beliau yang telah berkhidmat dengan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan sejak 1998 melahirkan harapan dengan adanya program ini, jabatan akan dapat memperbaiki dan meningkatkan lagi bintang yang telah diberi.
Menurutnya, sejak 20 tahun lalu, memang mempunyai perubahan yang begitu ketara lebih-lebih lagi dalam jangkaan pelanggan yang semakin meningkat.
Sehubungan itu, jabatan haruslah sentiasa bersiap sedia dalam memenuhi permintaan pelanggan dari semasa ke semasa yang sering kali berubah dalam sama-sama memberi perkhidmatan yang baik kepada pelanggan.
Walaupun kini negara sedang memasuki era yang lebih moden dengan teknologi yang canggih, namun adalah penting untuk sentiasa mempunyai interaksi sesama sendiri dan tidak hanya bergantung kepada penggunaan teknologi sepenuhnya.
Ini kerana, jelas beliau, dalam menghasilkan perkhidmatan yang baik, ia amat penting bagi jabatan sendiri untuk melayan permintaan orang ramai dengan bersua muka.
Program 3PSA merupakan kesinambungan kepada program Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD) sebelum ini iaitu Pengauditan Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR) yang memfokuskan kepada hal berkaitan pemedulian dan menilai perancangan strategik, dasar dan pelaksanaan serta sumber tenaga manusia.
Semasa Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-25 ini, enam buah jabatan telah menerima hadiah bagi program berkenaan iaitu Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Kementerian Pembangunan; JIPK, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN); Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan; Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Tanah, Kementerian Pembangunan dan Jabatan Buruh, KHEDN.