Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Dis – Pusat Bahasa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) pagi tadi telah mengadakan Hamlah Khairiyah (Khidmat Masyarakat): Penyerahan Sumbangan Bantuan Persekolahan bagi empat orang anak yatim di Kuala Lurah, Daerah Brunei dan Muara.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan tersebut ialah Pengarah Pusat Bahasa KUPU SB, Dr. Haji Hambali bin Haji Jaili.
Turut hadir ialah para pensyarah Pusat Bahasa serta ahli pegawai dan kakitangan KUPU SB.
Khidmat masyarakat ini merupakan program Pusat Bahasa KUPU SB untuk memperkasakan ilmu dan khidmat sosial kepada masyarakat khususnya dalam membantu menghadapi musim persekolahan pada tahun depan.


Sumbangan tersebut diharapkan dapat meringankan bebanan dan menjadi motivasi bagi mereka agar terus semangat menjalani pembelajaran, sekali gus menjadi pemangkin bagi mereka menjalani kehidupan yang lebih baik dan mendapat keberkatan dan diterima oleh Allah S.W.T.
Program ini adalah bertepatan dengan bidang dan misi serta visi KUPU SB ke arah melahirkan bakal guru yang berwibawa.
Para penerima sumbangan adalah terdiri daripada Dayang Izyan Pertama Sari binti Daud, Awang Dzuljalaliwal Amin bin Daud, Dayang Izzah Pertama Sari binti Daud dan Dayang Inayah Pertama Sari binti Daud.