Thursday, November 21, 2024
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 bakal lawat pertanian Jepun

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Empat belia Brunei dalam bidang pertanian akan mengadakan lawatan ke Jepun dalam Program Pertukaran Pertanian Brunei-Jepun di bawah Program Rangkaian Pertukaran Pelajar dan Belia Jepun–Asia Timur (JENESYS) yang akan bermula 19 hingga 25 November ini.

    Sementara itu, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru, hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada empat wakli belia negara yang diadakan di Kedutaan Jepun di negara ini.

    Belia-belia tersebut terdiri daripada Pengurus Harvest Moon, Awang Zulfadhil Huzaimi; Pengasas Cahaya Agro, Awang Wafiuddin Karim; Penyelia Penghasilan Tea Mori Enterprise, Noor Asnny John; dan Penolong Kanan Pertanian di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Abdul Azim bin Awang Tujoh.

    Pada 19 November nanti semasa di Tokyo, peserta akan diberikan taklimat mengenai Projek Peningkatan Tanah Pertanian oleh Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan (MAFF) Jepun. Sementara pada 20 November pula, mereka akan berpeluang memerhati teknologi akuaponik di Perkampungan Akuaponik Fujisawa di Wilayah Kanagawa dan kemudian meneruskan perjalanan ke Wilayah Mie pada 21 November untuk pengalaman inapdesa di rumah petani termasuk melakukan aktiviti lain seperti menuai dan bertani sebelum pulang ke Tokyo pada 25 November.

    JENESYS merupakan program pertukaran rakyat ke rakyat di antara Jepun dan rantau Asia Pasifik yang telah dilancarkan oleh kerajaan Jepun, yang antara lain bertujuan untuk mempromosi kepercayaan dan persefahaman dalam kalangan rakyat Jepun dan rantau Asia Pasifik seterusnya membina kerjasama serta persefahaman pada masa akan datang.

    Tahun ini menandakan 40 tahun hubungan diplomatik antara Jepun dan Brunei, di mana Kedutaan Jepun berharap peserta program akan menyumbang ke arah pembangunan pertanian di Brunei dengan menggunakan pengalaman serta pengetahuan yang diperolehi bagi memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua buah negara.

    TYT Maeda Toru bergambar ramai bersama empat belia berkenaan sebelum berlepas ke Jepun. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    TYT Maeda Toru semasa berinteraksi dengan para belia tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda