Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JPE
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JAN – Empat bangunan komersial di kawasan Kampung Jangsak, Kampung Telanai, Kampung Kiulap dan Aman Hills telah didapati membuat penyambungan elektrik tanpa kebenaran dan membuat pelencongan pendawaian elektrik daripada meter bagi pengendalian aktiviti penempaan mata wang kripto.
Dapatan itu adalah hasil pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang yang terdiri daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Autoriti Elektrik Negara Brunei Darussalam (AENBD) menerusi Operasi Bersepadu II yang berhubung kait dengan Akta Elektrik Penggal 71, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPE, di sini, operasi bersepadu itu merupakan susulan kepada Operasi Bersepadu I yang dijalankan pada 28 Disember lalu, dan melibatkan seramai kira-kira 35 orang penguat kuasa undang-undang.
Operasi itu bermatlamat untuk mengukuhkan langkah pencegahan daripada bahaya dan kemalangan yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti penyambungan elektrik tanpa kebenaran, termasuk pelencongan pendawaian elektrik daripada meter yang menjadi satu kesalahan di bawah Akta Elektrik Penggal 71 Seksyen 3 dan 9.
Jika sabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi $50,000 dan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Penyambungan elektrik tanpa kebenaran itu akan menjurus kepada pendawaian tidak selamat yang boleh mengakibatkan kebakaran, kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
JPE dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain akan secara berterusan membuat pemeriksaan mengejut ke atas semua premis-premis komersial yang disyaki membuat penyambungan elektrik tanpa kebenaran dan pelencongan pendawaian elektrik daripada meter dalam pengendalian apa-apa jua aktiviti yang memerlukan penggunaan tenaga elektrik secara intensif termasuk aktiviti penempaan mata wang kripto.
Pihak JPE memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan segala kegiatan dan aktiviti-aktiviti yang mencurigakan seperti penyambungan elektrik tanpa kebenaran ke Talian Darussalam 123, e-mel kepada des.info@des.gov.bn atau dengan mengisi Borang Pertanyaan dan Aduan, Bahagian Pengurusan Hasil yang boleh dimuat turun di laman sesawang JPE, www.des.gov.bn.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/01/P6-2-Pic-2_03012023.jpg)