Thursday, September 19, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 didenda masuki zon keselamatan terhad

    Oleh Nour Maghrifah – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Tiga orang warga tempatan dan seorang penduduk tetap didenda oleh Majistret Syarifah Baqiyah binti Malai Shahran kelmarin menjatuhkan hukuman denda kepada tiga orang warga tempatan dan seorang penduduk tetap selepas selepas mereka mengaku bersalah memasuki zon keselamatan terhad di sekitar pemasangan luar pesisir di perairan Brunei.

    Sheikh Mohammed Furhan Hassan Nuri, 31, didenda $5,500 dan berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Manakala Sheikh Mohammad Faisal Hassan Noori, 35; Sheikh Mohammad Hassan Jahangir, 30; dan seorang penduduk tetap, Asmali bin Haji Ali Hassan, 49; masing-masing didenda $3,000, dan berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.

    Mahkamah mendengar pada 14 Mei 2023, kira-kira jam 1 petang, defendan memasuki zon keselamatan terhad 500 meter di sekitar pemasangan luar pesisir SKWJ-01 dengan menaiki bot nelayan gentian kaca bernama ALADDIN.

    Tindakan pelanggaran kemasukan mereka itu telah membawa kepada kesalahan di bawah Seksyen 132 (6) Perintah Perkapalan Pedagang 2002.

    Pegawai pendakwa Atikah Husaini memperincikan bahawa dron pengawasan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) mengesan bot defendan dalam zon keselamatan, berada 34.24 meter dari pemasangan luar pesisir.

    Gambar Freepik

    Polis Marin, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Jabatan Perikanan dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri telah dimaklumkan semasa Operasi Menangin.

    Apabila tiba di tempat kejadian, pihak berkuasa mendapati defendan mengikat bot mereka pada salah satu tiang besi pemasangan. Sebaik sahaja defendan ternampak peronda menghampiri, mereka melepaskan ikatan bot dan melarikan diri ke utara.

    Insiden kejar-mengejar berlaku dan pihak berkuasa memintas bot itu kira-kira 5.44 kilometer dari pemasangan. Keempat-empat defendan telah ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Marin bersama bot mereka.

    Siasatan mendapati defendan telah bertolak dari Pantai Jerudong untuk menangkap ikan di sekitar pemasangan luar pesisir itu.

    Bot yang dikemudikan Sheikh Mohammed Furhan itu didapati membawa kira-kira 80.5 kilogram ikan dan peralatan menangkap ikan yang mana turut dirampas pihak polis.

    Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) mengesahkan bot dan enjinnya berada dalam keadaan baik.

    Pegawai pendakwa juga menyatakan bahawa keempat-empat defendan adalah pesalah kali pertama di bawah Perintah Perkapalan Pedagang 2002.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda