Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 graduan UBD kongsi resipi kejayaan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Dalam menggapai kejayaan bukanlah suatu perkara mudah sudah pasti banyak cabaran, dugaan serta pengorbanan yang perlu ditempuhi.

    Namun demi meneruskan impian dan cita-cita, insan-insan ini terus melangkah dengan berbekal semangat positif diiringi dengan ketulusan doa kedua orang tua mahupun keluarga tersayang dan tidak dilupa golongan pendidik yang tidak putus-putus menjadi tulang belakang sepanjang meniti alam pengajian.

    Mungkin itulah yang dirasakan oleh kebanyakan graduan semasa berlangsungnya Majlis Konvokesyen Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang ke-35 di Dewan Canselor, UBD, hari ini.

    “Alhamdulilah, setelah menempuh pelbagai cabaran sepanjang empat tahun pengajian di UBD, akhirnya impian untuk merangkul segulung ijazah tercapai jua.

    “Saya percaya bahawa setiap yang dipelajari akan memberi manfaat kepada diri ini dan juga rakan-rakan seperjuangan yang lain untuk bekalan pada masa hadapan sebagai asas sebelum melangkah ke fasa seterusnya sama ada alam pekerjaan mahu pun peringkat sarjana nanti,” ujar Awang Muhamad Hisyamuddin bin Haji Gani selaku salah seorang graduan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Brunei semasa ditemui penulis sebaik sahaja merakamkan memori terindah bersama kedua orang tuanya di perkarangan dewan tersebut.

    Awang Muhamad Hisyamuddin semasa berkesempatan ditemui penulis sebaik sahaja merakamkan memori terindah bersama kedua orang tuanya di perkarangan Dewan Canselor UBD. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Dayang Areezna turut berkongsi bahawa setiap usaha dan penat lelah yang telah ditempuhinya selama empat tahun ini membuahkan hasil yang tidak pernah dijangkakan. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Hajah Norati di sisi suaminya berkata salah satu kunci utama menggapai kejayaan itu adalah berbalik kepada diri kita sendiri. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    Dayang Nurul Amirah (depan, kiri) turut tidak ketinggalan mengungkapkan penuh keyakinan dengan menamatkan pengajian dalam jurusan logistik telah membekalkan dirinya bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain dengan pelbagai manfaat yang dapat memberi sumbangan kepada bangsa dan negara. – Gambar oleh Nurdiyanah R.

    Beliau yang memperolehi Kepujian Kelas Kedua Atas itu turut berkongsi sepanjang zaman kuliah, mereka didedahkan dengan pelbagai modul-modul seperti sejarah, adat istiadat, isu politik termasuklah juga industri, perikanan, maritim dan sebagainya yang berfokuskan kepada Negara Brunei Darussalam.

    Melaluinya, ia secara langsung mampu meningkatkan lagi tahap daya pemikiran dalam pelbagai aspek lebih-lebih lagi untuk mencapai wawasan negara.

    Peluang membentuk nilai-nilai positif

    Sementara itu, salah seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dalam jurusan Ekonomi, UBD School of Business and Economics (SBE), Dayang Areezna Arza binti Haji Abdullah turut berkongsi kejayaan itu sememangnya begitu sukar diungkapkan dengan kata-kata namun apa yang mampu beliau luahkan setiap usaha dan penat lelah yang telah ditempuhi selama empat tahun ini sudah membuahkan hasil yang tidak dijangka.

    “Semasa mengikuti Program Discovery Year sekitar Tahun 3 dalam pengajian, saya berpeluang menjalankan latihan penempatan kerja di Darussalam Enterprise (DARe) dan program pengajian di luar negara di Ajou University di Suwon, Korea Selatan. Pastinya pengalaman itu membentuk nilai-nilai positif menjadikan diri ini lebih berkeyakinan dan berdikari lebih-lebih lagi selaras dengan matlamat UBD iaitu ke arah kesempurnaan insan.

    “Sebagai galakan kepada mahasiswa-mahasiswi yang masih belajar di UBD supaya terus belajar dengan gigih dan bersungguh-sungguh, sentiasa mengerjakan kewajipan kita kepada Allah SWT demi dikurniakan petunjuk, keberkatan dan perlindunganNya dalam kehidupan sehari-hari. Di samping dorongan dan doa kedua ibu bapa juga sangat penting termasuklah juga memanfaatkan sepenuhnya pensyarah-pensyarah dalam memahami modul atau subjek yang dipelajari,” ujarnya yang memperolehi pangkat Kelas Pertama semasa majlis konvokesyen tersebut.

    Terokai ilmu dan kemahiran logistik

    Menerusi perkongsian lanjut bersama salah seorang graduan Ijazah Sarjana Logistik secara kerja kursus dari UBD SBE selama setahun pengajian, Dayang Nurul Amirah binti Haji Mohammad turut tidak ketinggalan mengungkapkan penuh keyakinan dengan menamatkan pengajian dalam jurusan logistik telah membekalkan dirinya bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain dengan pelbagai manfaat yang dapat memberi sumbangan kepada bangsa dan negara.

    “Ilmu dan kemahiran dalam logistik memainkan peranan penting dalam memastikan aliran barang, perkhidmatan, dan maklumat yang lancar dalam ekonomi. Ini membantu meningkatkan kecekapan dalam pengurusan rantai bekalan, pengurusan inventori dan proses perniagaan keseluruhan.”

    “Selain itu, kemahiran dalam analisis data dan teknologi maklumat membolehkan saya membuat keputusan yang lebih baik berdasarkan maklumat yang tepat dan semasa.

    Kecekapan ini boleh memberi impak positif kepada industri dan sektor lain dalam negara, membantu mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti dan memberi keunggulan kompetitif.

    “Di samping itu, pendedahan kepada isu-isu global dalam logistik seperti kesan alam sekitar, keselamatan dan kelestarian memberi kesedaran tentang tanggungjawab sosial dan kelestarian alam sekitar. Semua ini mampu membantu mewujudkan perkembangan yang mampan dan kesejahteraan negara secara menyeluruh,” ucapnya.

    Kajian bagi menjana manual perkamusan

    Salah seorang graduan Ijazah Doktor Falsafah dalam Bahasa Melayu dan Linguistik, dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Hajah Norati binti Bakar berkata antara kunci utama menggapai kejayaan itu adalah berbalik kepada diri kita sendiri untuk sentiasa membersihkan hati atau niat menuntut ilmu itu kerana Allah SWT sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam. Di samping itu, kita mestilah sentiasa mempertingkatkan ilmu dan menerokainya dengan hati yang teguh dan ikhlas.

    “Sejujurnya kejayaan ini tidak akan tercapai jika saya bertarung bersendirian tanpa sokongan daripada insan-insan sekeliling. Sebagai mahasiswa dan mahasiswi termasuklah mereka yang mengikuti Skim Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) semestinya tidak terlepas me-nerima sebarang cabaran dan dugaan semasa pengajian. Akan tetapi, percayalah kepada Allah SWT, sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Jangan mudah berputus asa, teruslah bangkit berusaha bersungguh-sungguh,” ujarnya.

    Hajah Norati turut berkongsi, menerusi penghasilan sebuah tesis penyelidikan berjudul ‘Komen Semantik dalam Kamus Bahasa Melayu Brunei’ itu sememangnya ia mempunyai manfaat tertentu terutamanya dalam bidang linguistik terapan yang memfokuskan hal leksikografi di mana Negara Brunei Darussalam merupakan antara pusat leksikografi di samping Malaysia dan Indonesia.

    Jelasnya lanjut, leksikografi merupakan antara kegiatan profesional yang berkaitan dengan penyusunan kamus. Namun penyelidikan hal-hal leksikografi tidak segiat di negara luar dan pengendalian bidang itu memerlukan seseorang yang berkemahiran dalam bidang linguistik dan leksikografi.

    “Negara kita masih kekurangan pakar atau yang berkemahiran dalam bidang ini. Dalam hubungan tersebut objektif tesis ijazah doktor falsafah ini sememangnya bagi menjana manual perkamusan, khususnya bagi kepentingan Brunei,” tambah beliau lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda