Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Empat individu masing-masing telah dikenakan kompaun berjumlah $100 oleh Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) melalui Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan kerana membuang sampah di kawasan awam, baru-baru ini.
Tiga daripada mereka iaitu Abdul Kholik dan Joyo Caksono, kedua-duanya warganegara Indonesia serta Dayang Siti Nor Atiqah binti Haji Asan, warga tempatan, telah dikenakan kompaun kerana membuang sampah di kawasan Pantai Jerudong pada 25 Ogos di bawah Bab 12(1)(a) Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30).
Sementara itu, seorang lagi warga tempatan, Mohamad Firdaus bin Haji Mohamad Ali Khanafiah turut dikenakan kompaun pada tarikh sama kerana membuang sampah di kawasan letak kereta awam berhampiran Gerai Dewan Kemasyarakatan Lambak Kanan CC1.
Kesemua mereka diarahkan untuk menjelaskan denda kompaun dalam tempoh tujuh hari.
Sekiranya gagal, kes akan dibawa ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi $9,000, penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, JDBM menekankan pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar dan memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai pembuangan sampah dengan menyertakan alamat lokasi serta gambar melalui aplikasi WhatsApp di talian 8321581.






