Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 individu ditahan, didakwa bunuh 2 pelajar Meitei

    NEW DELHI, 2 Okt – Empat orang telah ditangkap berkaitan penculikan dan pembunuhan dua pelajar Meitei, yang gambar-gambar mereka mencetuskan protes baharu di negeri timur laut India, Manipur, kata pegawai pada Isnin.

    Individu yang ditahan, dua lelaki dan dua wanita, telah dibawa keluar dari Manipur ke Guwahati, negeri jiran Assam.

    “Saya gembira untuk berkongsi bahawa beberapa penjenayah utama yang bertanggungjawab atas penculikan dan pembunuhan Phijam Hemanjit dan Hijam Linthoingambi telah ditahan dari Churachandpur hari ini,” menurut Ketua Menteri Manipur N. Biren Singh dalam kenyataan ringkas pada Ahad petang, lapor Xinhua.

    “Kami komited untuk memastikan hukuman maksimum, termasuk hukuman mati, bagi jenayah kejam yang mereka lakukan.”

    Menurut pegawai, pasukan khas agensi penyiasatan utama India, Central Bureau of Investigation (CBI), telah membawa individu yang ditahan dengan pesawat ke Guwahati.

    Dua pelajar, Hemanjit, 20 tahun, dan Linthoingambi, 17 tahun, telah hilang pada Julai ketika keganasan etnik di Manipur berada di puncaknya. Gambar-gambar mayat mereka dimuat naik di media sosial baru-baru ini, beberapa hari selepas perkhidmatan internet dipulihkan di negeri itu selepas sekatan penuh selama empat bulan.

    Lebih daripada 50 pelajar cedera semasa protes besar-besaran minggu lalu membantah pembunuhan di Imphal, ibu negeri Manipur. Penunjuk perasaan yang menuntut keadilan untuk mangsa cuba bergerak ke kediaman Ketua Menteri.

    Manipur berada dalam keadaan tegang sejak 3 Mei apabila keganasan besar-besaran berlaku di negeri itu semasa protes berhubung langkah memberikan status keistimewaan puak kepada komuniti Meitei yang agak kaya, yang komunitinya membentuk lebih separuh daripada 3.2 juta penduduk negeri itu.

    Tuntutan Meitei untuk dimasukkan di bawah kategori Suku Berjadual, yang akan memberi mereka manfaat pekerjaan dalam sektor kerajaan, pendidikan dan akses kepada tanah hutan, ditentang hebat oleh Kukis, Naga dan kumpulan puak lain, yang takut terpinggir. – Bernama

     

    Gambar freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda