TOKYO, 15 APRIL – Polis Jepun telah menahan empat individu kerana disyaki terlibat dalam penjualan imej lucah yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), dalam satu tindakan penguatkuasaan pertama seumpamanya di negara itu, menurut jurucakap polis dan laporan media tempatan, hari ini.
Menurut jurucakap polis Tokyo, kesemua suspek dipercayai menghasilkan poster berunsur eksplisit dan menjualnya di beberapa platform lelongan dalam talian. Mereka ditahan kelmarin atas dakwaan melanggar undang-undang berkaitan pengedaran bahan tidak senonoh.
Jualan poster tersebut dipercayai berlaku beberapa kali sekitar Oktober tahun lalu. Jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda maksimum 2.5 juta yen (sekitar AS$17,500) atau kedua-duanya sekali.
Media tempatan termasuk penyiar awam NHK melaporkan a imej-imej tersebut dihasilkan dengan menggunakan perisian AI percuma dan menggambarkan individu dewasa yang sebenarnya tidak wujud di dunia nyata, berdasarkan arahan teks tertentu.
Suspek yang berusia antara 20an hingga 50an itu dipercayai menjual poster berkenaan pada harga antara beberapa ribu yen setiap satu (sekitar AS$20 hingga AS$50).
Laporan menyatakan ini merupakan kes pertama di Jepun membabitkan penahanan berkaitan penjualan imej tidak senonoh yang dihasilkan menggunakan AI, walaupun polis belum mengesahkannya secara rasmi.
Pakar turut melahirkan kebimbangan di seluruh dunia berhubung penyalahgunaan teknologi AI, terutamanya digunakan untuk menghasilkan kandungan palsu seperti deepfake, yang berpotensi memanipulasi foto, video atau audio menyerupai rakaman sebenar. – AFP
