ISLAMABAD, 25 OGOS — Agensi Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini memberi amaran bahawa setahun selepas banjir yang melanda Pakistan, dianggarkan 4 juta kanak-kanak masih memerlukan bantuan kemanusiaan dan akses kepada perkhidmatan penting kerana kekurangan dana masih menjadi halangan untuk pemulihan.
Amaran dari UNICEF ini dibuat ketika pihak berkuasa di wilayah Punjab timur Pakistan sedang bergegas untuk memindahkan penduduk dari kawasan yang terjejas oleh banjir di Sungai Sutlej.
Sejak 1 Ogos, pasukan penyelamat telah memindahkan lebih daripada 100,000 orang dari kawasan yang terkandas di daerah Kasur dan Bahawalpur.
Lebih enam bulan yang lalu, puluhan negara dan institusi antarabangsa dalam satu persidangan yang disokong oleh PBB di Geneva menjanjikan bantuan bernilai lebih daripada AS$9 bilion untuk Pakistan bertujuan memulihkan dan membina semula negara selepas banjir musim panas tahun lepas.
Tetapi kebanyakan daripada janji tersebut berupa pinjaman untuk projek masih dalam peringkat perancangan.
“Hujan monsun pada musim ini memburukkan lagi keadaan untuk komuniti yang terjejas oleh banjir, mengorbankan 87 kanak-kanak di seluruh negara,” kata UNICEF dalam kenyataan.
UNICEF berkata sekitar 8 juta orang, di mana separuhnya adalah kanak-kanak, terus hidup tanpa akses kepada air bersih di kawasan yang terjejas oleh banjir. – AP


