Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 juta penduduk tinggalkan Ukraine

    GENEVA, 30 MAC – Lebih empat juta rakyat Ukraine telah meninggalkan negara itu dalam tempoh lima minggu untuk melarikan diri dari ‘perang sia-sia’ Rusia, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

    Kepantasan dan skala penghijrahan tidak pernah berlaku sebelum ini di Eropah sejak Perang Dunia Kedua dan telah menyaksikan empati diberikan kepada wanita, kanak-kanak dan warga emas yang berjaya melintasi sempadan.

    UNHCR, agensi pelarian PBB, berkata 4,019,287 warga Ukraine telah melarikan diri merentasi sempadan negara sejak pencerobohan 24 Februari, dengan lebih 2.3 juta menuju ke Poland.

    Aliran itu telah melepasi anggaran awal UNHCR bahawa perang akhirnya boleh menyebabkan sehingga empat juta pelarian.

    “Pelarian dari Ukraine kini berjumlah empat juta, lima minggu selepas permulaan serangan Rusia,” kata ketua UNHCR, Filippo Grandi di laman sosial Twitter.

    “Saya baru tiba di Ukraine. Di Lviv, saya akan berbincang dengan pihak berkuasa, PBB dan rakan kongsi lain cara untuk meningkatkan sokongan kami kepada mereka yang terjejas dan terlantar akibat peperangan yang sis-sia ini.”

    Wanita dan kanak-kanak merangkumi 90 peratus daripada jumlah penduduk Ukraine yang telah melarikan diri. Lelaki Ukraine berumur 18 hingga 60 tahun layak untuk panggilan tentera dan tidak boleh pergi.

    Aliran harian awal pelarian menuju ke barat telah perlahan sejak minggu lalu dan kekal stabil pada kira-kira 40,000. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda