ANNECY, PERANCIS, 8 JUN – Seorang lelaki bersenjatakan pisau telah menyerang sekumpulan kanak-kanak prasekolah yang bermain di tepi tasik di pergunungan Alps Perancis hari ini, mencederakan empat kanak-kanak serta seorang dewasa yang mengemparkan seluruh negara.
Suspek adalah warga Syria berusia awal 30an yang diberikan status pelarian di Sweden pada April, sumber polis memberitahu AFP.
Saksi menggambarkan suspek lelaki yang membawa pisau itu berlari ke sana ke mari dan menyerang orang ramai secara rambang, sebelum ditembak oleh polis berdekatan tepi Tasik Annecy.
“Dia mahu menyerang semua orang. Saya menjauh dan dia meluru ke arah seorang lelaki tua yang bersama seorang wanita dan menikam lelaki itu,” kata bekas pemain bola sepak professional, Anthony Le Tallec, yang berlari di taman itu, memberitahu akhbar tempatan, Dauphine Libere.
Seorang lagi saksi, bernama Malo, memberitahu saluran televisyen BFM bahawa pelakunya menyerang kanak-kanak sebelum lelaki tua itu dan “menjerit, tetapi tidak dapat difahami.”
Dua daripada kanak-kanak itu dipercayai berusia sekitar tiga tahun dan seorang mangsa dewasa berada dalam keadaan kritikal dan telah dihantar untuk rawatan di hospital, kata sumber keselamatan kepada AFP. – AFP
