KUALA LUMPUR, 7 JAN – Empat kejohanan penting iaitu Kejohanan Lumba Basikal Asia 2025 (ACC 2025) dan Kejohanan Asean Track GP President Cup 2025 Siri 1, 2, & 3, dijangka menjadi keutamaan buat pelumba Malaysia dalam memburu mata dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh, berkata Kejohanan ACC 2025 akan berlangsung pada 21 hingga 27 Februari dan Kejohanan Asean Track GP (13 hingga 20 Januari) menawarkan peluang terbaik buat pelumba itu untuk memanfaatkan kelebihan berlumba di gelanggang sendiri dengan sokongan padu penonton tempatan.
Kesemua kejohanan itu akan berlangsung di Velodrom Kebangsaan Nilai, Negeri Sembilan.
“Saya berharap pelumba negara menggunakan peluang ini sebagai medan terbaik untuk mengumpul sebanyak mungkin mata UCI,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya pelumba bertaraf dunia, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izati Mohd Asri mampu mengekalkan momentum cemerlang pada awal tahun ini dalam kejohanan-kejohanan berkaitan.
Amarjit juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata pelumba dari Jepun, Korea Selatan, Kazakhstan, Hong Kong, dan Iran akan menjadi cabaran utama bagi pelumba Malaysia di ACC 2025.
Katanya pencapaian pelumba Malaysia di ACC 2025 dan Kejohanan Asean Track GP President Cup 2025 turut boleh dijadikan sebagai kayu pengukur menjelang Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand.
“Saya optimis pelumba kita mampu mendominasi acara trek di Sukan SEA 2025. Dengan kerja keras dan persiapan rapi, kita boleh meraih semua pingat yang dipertandingkan di Bangkok nanti,” katanya. – Bernama