WELLINGTON, 22 JULAI – Seorang koroner New Zealand secara rasmi mengaitkan empat kematian dengan penjualan ‘kit bunuh diri’ yang dibeli secara dalam talian daripada bekas cef Kanada, menurut penemuan yang diterbitkan hari ini.
Koroner Alexandra Cunninghame mendapati bahawa tiga pelajar, berumur 18 hingga 21 tahun, dan seorang jurulatih peribadi berumur 40 tahun membunuh diri selepas membeli kit daripada perniagaan yang dikaitkan dengan warga Kanada, Kenneth Law.
Polis Kanada percaya Law menghantar sebanyak 1,200 ‘kit bunuh diri’ kepada individu di lebih 40 negara antara 2020 dan penahanannya tahun lalu, khususnya menyasarkan orang yang mudah terpengaruh dalam talian.
Pendakwa raya Kanada mendakwa kit itu mengandungi bahan tambahan makanan yang boleh membunuh jika disalahgunakan.
Law telah ditangkap pada Mei 2023 dan didakwa di Kanada dengan 14 pertuduhan membunuh dan 14 lagi pertuduhan membantu dan menasihati membunuh diri. Dia telah menafikan tuduhan tersebut.
Pejabat Pencegahan Bunuh Diri New Zealand telah meminta penyedia perkhidmatan internet menyekat laman web Law di New Zealand, tambah koroner tersebut. – AFP


