Sunday, September 29, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 kesalahan didapati dilakukan majikan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Sebanyak empat kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 yang dilakukan oleh majikan telah didapati semasa Operasi Siaga 132/2024 yang dikendalikan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh, baru-baru ini, di sebuah kedai membaiki alat-alat elektrik, di kawasan Kampung Mulaut.

    Antara kesalahan-kesalahan yang didapati adalah Bab 112(2) Kesalahan melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing yang mana pekerja yang dijamin tidak ditempatkan di tempat yang diisytiharkan ke Jabatan Buruh malah didapati bekerja bukan di alamat premis yang dibenarkan; Bab 65 Bekerja melebihi jam bekerja yang ditetapkan; Bab 63 Gagal memberikan cuti rehat; dan Bab 39 Gagal membayar gaji kerja lebih masa.

    Bagi kesalahan melanggar Perintah Pekerjaan 2009, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi kesalahan tersebut.

    Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Operasi tersebut bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.

    Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh dalam kenyataan akhbarnya mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti menempatkan pekerja di tempat yang telah diistiharkan ke Jabatan Buruh, bekerja tidak melebihi jam bekerja yang telah ditetapkan iaitu tidak melebihi lapan jam sehari dan tidak lebih daripada 44 jam seminggu, memberikan cuti rehat sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu dan membayar gaji kerja lebih masa.

    Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).

    Penguat kuasa undang-undang, Jabatan Buruh, menjalankan pemeriksaan semasa Operasi Siaga 132/2024 sebuah kedai membaiki alat-alat elektrik, di kawasan Kampung Mulaut. – Gambar serahan Jabatan Buruh
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda