Saturday, November 23, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 kesilapan terbesar ketika membeli kereta baharu

    Pembeli kereta kini mempunyai lebih banyak alat untuk mendapatkan kenderaan yang sesuai pada harga yang berpatutan. Namun, kesilapan tetap boleh berlaku. Selalunya, pembeli kereta terjerat dengan emosi atau terburu-buru dalam membuat keputusan.

    Pakar daripada Edmunds mendedahkan empat kesilapan terbesar yang sering dilakukan oleh pembeli kereta dan memberikan tip untuk mengelakkannya.

    MENUKAR KENDERAAN DENGAN NILAI NEGATIF

    Situasi di mana seseorang berada dalam keadaan ‘ekuiti negatif’ ketika menukar kenderaan semakin kerap berlaku. Menurut laporan terbaharu Edmunds, hampir satu daripada empat pengguna yang membuat pembiayaan untuk membeli kenderaan baharu dengan menukar kenderaan lama pada suku kedua 2024 berada dalam situasi ini.

    Istilah ‘ekuiti negatif’, upside down atau underwater merujuk kepada situasi buruk yang mana ketiga-tiga istilah itu bermaksud pemilik kenderaan berhutang lebih banyak daripada nilai keretanya. Bukan sahaja bilangan kes sebegini semakin meningkat sejak 2022, malah jumlah hutang dalam situasi itu juga bertambah.

    Sebagai contoh, jika awda berhutang AS$5,000 lebih daripada nilai kenderaan awda sekarang dan memutuskan untuk menukar dan membeli kereta baharu, awda perlu membayar harga kereta baharu ditambah dengan AS$5,000. Itu menyebabkan pembayaran bulanan awda lebih tinggi. Penyelesaian terbaik adalah untuk terus menggunakan kenderaan semasa sehingga hutang seimbang dengan nilai kenderaan.

    Terus menggunakan kenderaan awda yang ada sehingga hutang seimbang dengan nilai kenderaan semasa. – Freepik
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik
    Gambar Envato

    Mungkin sukar untuk menunggu kerana awda mahu kereta baharu itu tetapi jika awda boleh memastikan nilai tukaran kenderaan awda bersamaan dengan jumlah pinjaman, awda tidak perlu membayar tambahan untuk pembelian kenderaan baharu.

    TERGESA-GESA MEMBELI KENDERAAN

    Ada sebab dan keadaan yang memaksa seseorang untuk mempercepatkan pembelian kenderaan. Mungkin kereta telah rosak teruk dalam kemalangan, atau ia telah rosak keseluruhannya dan tidak berbaloi untuk dibaiki.

    Walau apa pun, awda memerlukan kereta baharu dengan segera. Namun, ramai pembeli tidak mempertimbangkan untuk melakukan penyelidikan terlebih dahulu.

    Ada ciri-ciri automotif baharu dan teknologi yang tidak biasa yang patut diketahui, terutamanya jika sudah awda membeli kereta baharu.

    Jika awda tidak terburu-buru membuat keputusan, awda boleh mendapatkan beberapa tawaran sebelum membuat keputusan dan ada masa untuk pemeriksaan kenderaan jika ia kereta terpakai.

    Walaupun awda perlu menggantikan kereta dengan cepat, biasanya lebih baik mencari pengangkutan alternatif sementara awda membuat kajian untuk pembelian kenderaan baharu. Menyewa kereta untuk beberapa hari mungkin menelan belanja ratusan ringgit, tetapi itu lebih baik daripada memilih kenderaan yang salah atau terperangkap dengan tawaran yang buruk.

    HANYA PERGI KE SATU PENGEDAR

    Kesilapan itu sering dilakukan oleh pembeli yang tergesa-gesa mencari kenderaan baharu. Pastikan awda memberi masa untuk diri sendiri membuat keputusan yang bijak walaupun awda memerlukan kereta dengan segera.

    Kebanyakan pembandingan harga boleh dilakukan secara dalam talian atau melalui telefon tanpa perlu keluar dari rumah. Elakkan terus pergi ke kedai kereta dan membuat keputusan tanpa melihat pilihan lain.

    Peniaga kereta biasa bersaing antara satu sama lain, jadi pastikan mereka melakukannya untuk kepentingan awda. Beritahu peniaga bahawa awda sedang membuat perbandingan dan tunjukkan tawaran daripada pengeluaran automotif lain supaya mereka tahu awda serius.

    KELIRU DENGAN HARGA

    Sesetengah pembeli mungkin merasa tertekan oleh jurujual yang menunjukkan banyak angka, termasuk harga yang diminta, nilai tukaran kenderaan awda, wang pendahuluan dan bayaran bulanan.

    Walaupun terdapat kurang peniaga yang menggunakan taktik mengelirukan seperti dulu, adalah baik untuk bersedia menghadapi situasi ini jika berlaku. Pertama sekali, lakukan penyelidikan untuk mengetahui nilai pasaran kenderaan yang awda mahu beli sebelum mula berunding. Angka itu akan menjadi asas strategi awda dan memberikan rujukan.

    Selepas itu, lebih baik untuk fokus pada dua angka iaitu harga jualan ditambah dengan yuran seperti cukai dan lesen dan nilai tukaran kenderaan awda.

    Juga, berhati-hati dengan potensi tambahan yang mungkin digunakan oleh peniaga untuk meningkatkan keuntungan mereka.

    Itu termasuk peranti anti-kecurian, jaminan tambahan, perlindungan cat dan fabrik, tikar lantai, kunci roda dan banyak lagi.

    Awda mungkin boleh berunding untuk harga tambahan, tetapi ia mungkin akan mengganggu matlamat utama awda, iaitu mendapatkan tawaran terbaik untuk kenderaan itu sendiri. Membeli kereta tanpa tambahan adalah cara terbaik untuk mengelakkan situasi ini.

    Meluangkan sedikit masa untuk mempertimbangkan semua pilihan dan berfikir dengan teliti mengenai terma pembelian kereta boleh menjimatkan ribuan ringgit. Ia adalah masa dan wang yang berbaloi. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda