KOTA KINABALU, 31 Mei – Polis di sini memberkas empat lelaki kerana disyaki mencuri kabel elektrik bawah tanah milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Jalan Aru , Anjung Perdana, Pantai Tanjung Aru 1, Isnin lepas.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata, suspek yang berumur antara 25 hingga 34 tahun berkenaan ditahan kira-kira jam 5.30 pagi ketika cuba memasukkan kabel voltan tinggi yang siap dipotong itu ke dalam sebuah kenderaan.
“Kabel sepanjang 4.34 meter, sebuah mesin pemotong rumput yang telah diubah suai dengan dipasang dengan ‘grinder’ untuk memotong kabel dan sebuah kereta jenis Toyota Vios antara barangan dirampas daripada suspek,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya salah seorang suspek itu berasal dari Lawas, Sarawak, manakala selebihnya dari daerah-daerah lain di Sabah.
Menurut M. Chandra tiga daripada suspek berkenaan positif dadah dan mereka sedang ditahan reman sehingga 2 Jun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan. – Bernama