STOCKHOLM, 31 OGOS – Pakar skuad bom telah dipanggil selepas bandar-bandar Sweden digegarkan oleh empat letupan dalam masa lebih kurang sejam, kata polis, dengan negara itu berusaha mengekang lonjakan keganasan berkaitan kumpulan.
Sejurus selepas 1 pagi waktu tempatan (2300 GMT), polis di Gothenburg menerima laporan mengenai dua letupan di alamat berasingan, hanya selang 10 minit.
“Kedua-dua kawasan telah dikepung dan siasatan teknikal sedang dijalankan,” kata polis sambil menambah bahawa skuad bom negara telah dipanggil ke tempat kejadian.
“Tiada laporan mengenai orang yang tercedera, hanya kerosakan harta benda,” tambah polis.
Sejam kemudian dua lagi letupan dilaporkan selang beberapa minit di Norsborg – pinggir bandar di selatan Stockholm – dan di Nykoping, kira-kira 100 kilometer selatan ibu negara.
Dalam kedua-dua kes itu, polis berkata tiada sesiapa yang cedera. Keempat-empat letupan itu berlaku di bangunan kediaman.
Sweden telah bergelut untuk mengawal lonjakan kes tembakan dan pengeboman dalam beberapa tahun kebelakangan ini ketika kumpulan samseng menyelesaikan isu-isu yang didorong oleh perdagangan dadah.
Tetapi polis Gothenburg memberitahu AFP bahawa masih terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai motif dua letupan di bandar tersebut. – AFP