Sunday, March 30, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 masalah pengelap cermin depan sering berlaku

    Pengelap kereta merupakan salah satu komponen yang sangat penting bagi memastikan cermin kereta berada dalam keadaan terbaik agar pemanduan menjadi lebih selamat.

    Pengelap kereta memainkan peranannya terutama di kala waktu hujan atau cuaca buruk.

    Ia akan membantu mengelap air atau sisa kotoran yang ada pada cermin hadapan kereta.

    Jika pengelap kereta awda rosak, ia akan menimbulkan risiko di mana penglihatan pemandu akan terganggu akibat pemandangan yang tidak jelas dan seterusnya boleh mengakibatkan kemalangan.

    Sebenarnya, terdapat beberapa masalah yang sememangnya sering berlaku pada pengelap kereta. Ingin ketahui apakah ia? Teruskan membaca artikel dari laman blog BJAK ini.
    Masalah pada pengelap kereta yang sering berlaku:

    Sentiasa bersihkan bilah pengelap kereta awda untuk mengelakkan pengumpulan kotoran di bawah bilah dengan menggunakan kain lembab. – Freepik
    Jika awda ingin menghilangkan habuk atau sebarang kotoran pada permukaan cermin, pancut dulu air pengelap pada cermin untuk membasahkannya. – Freepik
    Gambar Freepik

    GETAH PENGELAP KERETA HAUS

    Jika getah pengelap sudah haus atau keras, ia tidak akan mampu berfungsi dengan baik yang mana sapuan air di permukaan cermin hadapan akan menjadi tidak sekata. Lebih buruk, ia juga berpotensi menyebabkan cermin kereta awda bercalar.

    Jadi, sebaiknya awda tukar terus pengelap kereta awda berbanding daripada perlu membaiki cermin kereta awda di kemudian hari.

    PENGELAP TERSEKAT-SEKAT, LAMBAT

    Jika awda mendapati pengelap awda ber-gerak dalam keadaan yang tersekat-sekat atau lambat, maka ia berkemungkinan disebabkan oleh bahagian dalam sistem penggerak pengelap yang kotor. Ia mempunyai kesan ke atas arus elektrik dan biasanya membuatkan bilah pengelap bergerak dengan lambat. Untuk mengatasinya, awda perlu bersihkan kotoran pada kawasan yang mengalami kekotoran itu.

    Selain itu, pengelap juga akan bergerak dengan lambat jika terdapat karat di dalam komponen itu, menyebabkan ia tidak mampu berfungsi pada tahap yang optimal. Jadi, bersihkan bahagian yang terjejas dari karat dan semburkan bahagian tersebut dengan cecair anti karat.

    Bagaimanapun, awda digalakkan untuk terus menggantikan pengelap kereta awda dengan yang baharu jika keadaannya sudah terlalu teruk.

    PENGELAP TIDAK BERGERAK

    Pernah tidak pengelap kereta awda tidak bergerak atau berfungsi langsung ketika ingin menggunakannya? Jika ya, maka awda mungkin perlu memeriksa bahagian motor elektrik.

    Jika motor elektrik telah rosak, maka awda terpaksa segera menggantikan pengelap kereta awda dengan yang baharu.

    Selain itu, punca pengelap tidak ber-gerak langsung juga mungkin disebabkan oleh masalah fius di mana fius pecah dan terdapat arus elektrik yang berlebihan. Jadi, sila perhatikan litar dan sambungan antara kabel yang berkaitan dengan fius.

    DYNAMO PENGELAP ROSAK

    Kerosakan yang sering terjadi pada dynamo pengelap adalah masalah gegelung yang terbakar.

    Ia biasanya disebabkan oleh litar pintas arus elektrik di dalam kereta. Jika itu terjadi, pengelap kereta awda boleh dianggap sebagai rosak sepenuhnya dan harus diganti dengan yang baharu.

    Bagaimanakah cara untuk jaga pengelap kereta agar tahan lama?

    Untuk menjaga pengelap agar tidak mudah rosak sebenarnya tidaklah sesusah yang disangka. Jika pengelap dijaga dengan baik, ia secara tidak langsung mampu memanjangkan hayatnya dan awda juga tidak perlu sering menukarnya dengan yang baharu.

    Berikut merupakan beberapa tip untuk menjaga atau ‘memanjangkan hayat’ pengelap kereta awda.

    1. Elak guna pada waktu kering – Ingat, pengelap seharusnya digunakan pada permukaan yang basah sahaja. Jika awda gunakannya pada waktu kering, maka ia boleh menyebabkan pengelap kereta awda lebih cepat haus. Jika awda ingin menghilangkan habuk atau sebarang kotoran pada permukaan cermin, pancut dulu air pengelap pada cermin untuk membasahkannya.

    2. Bersihkan bilah pengelap – Sentiasa bersihkan bilah pengelap kereta awda untuk mengelakkan pengumpulan kotoran di bawah bilah dengan menggunakan kain lembab. Ia bagi mengelakkan cermin kereta awda diseret dengan bendasing yang terkumpul pada bilah dan seterusnya menyebabkan kesan calar.

    3. Jemur/angkat pengelap kereta – Biasakan untuk mengangkat pengelap kereta awda terutama ketika cuaca panas bagi mengelakkan getah pengelap cermin daripada rosak akibat suhu serta kepanasan yang melampau.

    4. Tukar getah pengelap beberapa bulan sekali – Secara amnya, awda digalakkan untuk menggantikan getah pengelap cermin kereta awda setiap enam bulan sekali sehingga setahun bergantung pada tahap penggunaan.

    Jaga pengelap kereta awda untuk penglihatan terbaik ketika memandu

    Pengelap kereta memainkan peranan yang sangat penting demi keselesaan dan keselamatan pemandu terutama pada waktu hujan. Jika ia sudah rosak seperti situasi yang dikongsikan di atas, pastikan awda menukarnya dengan yang baharu pada kadar segera. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda