KAHERAH, 8 JULAI – Pegawai Mesir berkata hari ini kebakaran yang melanda sebuah bangunan syarikat telekomunikasi utama di pusat bandar Kaherah mengorbankan empat orang dan lebih 20 cedera.
Kebakaran di bangunan 10 tingkat bersejarah itu dilaporkan bermula di salah satu dewan operasi telekomunikasi sebelum merebak ke tingkat lain akibat kepanasan dan intensiti api yang tinggi.
Kesemua empat mangsa yang terkorban merupakan kakitangan syarikat terbabit dan berada di dalam bangunan semasa kejadian, menurut kenyataan kesatuan pekerja mereka.
Sementara itu, 27 mangsa cedera dimasukkan ke hospital, namun beberapa orang telah dibenarkan keluar, menurut kemas kini Kementerian Kesihatan Mesir. Beberapa individu lain yang mengalami sesak nafas akibat asap pula dirawat di lokasi dan tidak dimasukkan dalam statistik rasmi.
Sehingga pagi tadi, bahagian atas bangunan kelihatan hangus terbakar, manakala pasukan bomba masih menyembur air bagi memadam sisa kebakaran, menurut laporan wartawan AP di lokasi.
Kebakaran itu juga menimbulkan gangguan sementara kepada perkhidmatan internet dan telefon mudah alih. Laman NetBlocks melaporkan kadar sambungan internet negara jatuh kepada hanya 62 peratus daripada paras biasa. – AP
