Monday, February 10, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 maut, 6 hilang selepas bot karam di Korea Selatan

    YEOSU, 9 FEB – Sebuah bot pukat tunda yang membawa 14 kru karam di perairan selatan Korea Selatan hari ini, mengorbankan empat nyawa manakala enam masih hilang, lapor agensi berita Yonhap.  

    Bot seberat 139 tan itu membawa lapan warga Korea Selatan, tiga warga Vietnam dan tiga warga Indonesia sebelum dilaporkan hilang pada 1.41 pagi waktu tempatan, kira-kira 17 kilometer timur Pulau Habaek, berhampiran Yeosu.

    Setakat ini, Pengawal Pantai dan bot nelayan lain berjaya menyelamatkan lapan kru, namun empat warga Korea Selatan termasuk kapten berusia 66 tahun disahkan maut.  

    Lima daripada kru yang terselamat, termasuk dua warga Vietnam dan dua warga Indonesia, dijumpai menaiki rakit keselamatan, manakala selebihnya ditemukan hanyut di perairan itu.  

    Seorang kru warga Korea Selatan yang ditemukan tidak sedarkan diri pada 8:42 pagi kemudian disahkan meninggal dunia.  

    Dua kru warga Indonesia yang terselamat dibawa ke pejabat Pengawal Pantai di Yeosu untuk membantu siasatan,  manakala kru warga Vietnam sedang menerima rawatan di hospital berhampiran selepas menunjukkan tanda-tanda hipotermia.  

    Seorang kru asing mendakwa bot yang dinaiki terbalik akibat tiupan angin dan ombak, namun pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi menentukan punca sebenar kejadian.  

    Pengawal Pantai mengerah 23 kapal dan lapan pesawat, dengan bantuan agensi lain serta bot nelayan, dalam usaha mencari kru yang masih hilang. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda