ISTANBUL, 29 NOV – Ribut kencang membadai Istanbul dan bahagian lain di Turki hari ini, mengorbankan empat orang dan menyebabkan huru-hara di bandar yang mempunyai 15 juta penduduk, menurut laporan.
Mangsa-mangsa termasuk seorang wanita yang maut di daerah Esenyurt, Istanbul, di mana angin kencang menerbangkan sebahagian bumbung dan menghempapnya bersama anaknya, lapor agensi Anadolu. Kanak-kanak berkenaan selamat namun mengalami kecederaan.
Pejabat gabenor Istanbul berkata tiga yang lain terbunuh di bandar itu, termasuk warga asing. Seramai 19 orang cedera termasuk tiga daripadanya dalam keadaan parah, menurutnya.
Angin kencang turut menumbangkan menara jam, seperti yang disiarkan dalam televisyen.
Angin menerbangkan 33 bumbung, menumbangkan 192 pokok, menjejaskan 52 lampu trafik dan tanda jalan serta memusnahkan 12 buah kenderaan, menurut perbandaran Istanbul.
Bosporus, laluan air sempit yang membahagi bandar itu, telah ditutup kepada lalu lintas maritim dengan perkhidmatan feri telah dibatalkan.
Sekitar enam penerbangan Turkish Airlines dijadualkan mendarat di Istanbul telah berubah haluan ke bandar-bandar Ankara dan Izmir, menurut jurucakap penerbangan. – AP
