ATHENS, 10 SEPT – Empat individu maut selepas sebuah bas pelancong bertembung dengan sebuah kereta berhampiran Kilkis di utara Greece hari ini, menurut pihak polis.
Keempat-empat mangsa adalah lelaki, di mana tiga daripadanya adalah warga Greece dan seorang warga Rusia yang semuanya berada dalam kereta tersebut.
Polis sebelum ini melaporkan tiga kematian, namun seorang lagi kemudiannya disahkan meninggal dunia akibat kecederaannya.
Bas tersebut memiliki plat nombor Serbia dan 23 daripada lebih 80 penumpang telah dibawa ke hospital akibat kecederaan ringan.
Kira-kira 20 anggota bomba dan enam kenderaan penyelamat telah dikerahkan ke lokasi kemalangan.
Siasatan sedang dijalankan.
Greece adalah antara negara Kesatuan Eropah (EU) dengan jumlah kemalangan jalan raya tertinggi setiap tahun, dengan 58 kematian bagi setiap juta penduduk pada 2022, menurut statistik Suruhanjaya Eropah. – AFP


