KYIV, 31 MEI – Peluru berpandu balistik Rusia melanda sebuah blok apartmen di Kharkiv dan membunuh sekurang-kurangnya empat orang dalam serangan pada waktu malam, kata pegawai Ukraine hari ini, sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi kelulusan kepada Kyiv untuk menyerang balik dengan senjata Amerika ke atas aset tentera Rusia yang menyasarkan bandar kedua terbesar di negara itu.
Rusia melancarkan lima peluru berpandu balistik S-300/S-400 di Kharkiv semalaman, kata tentera udara Ukraine.
Salah satu daripadanya mengenai bangunan kediaman hampir tengah malam diikuti oleh satu lagi peluru berpandu 25 minit kemudian yang melanda pasukan penyelamat pertama, menurut Gabenor wilayah Oleh Syniehubov. Kira-kira 25 orang cedera, katanya.
Pegawai Ukraine sebelum ini menuduh Rusia menyasarkan pasukan penyelamat dengan menembak bangunan kediaman dengan dua peluru berpandu berturut-turut yang pertama menarik kru kecemasan ke tempat kejadian dan yang kedua mencederakan atau membunuh mereka. Taktik itu dipanggil ‘double tap’ dalam jargon tentera. Rusia menggunakan kaedah yang sama dalam perang saudara Syria.
Serangan besar-besaran Rusia bulan ini di wilayah timur laut Kharkiv, termasuk serangan bom udara Rusia ke atas sebuah kedai bekalan pembinaan besar yang membunuh 18 orang pada 25 Mei, telah memaksa pemindahan ribuan orang dan telah menguji kekuatan tentera Ukraine yang semakin berkurangan dalam tempoh yang kritikal dalam perang yang kini memasuki tahun ketiga.
Selain Kharkiv, tentera Moscow sedang mara di wilayah Donetsk lebih jauh ke selatan dan sedang mengumpulkan pasukan untuk serangan yang dijangka di wilayah Sumy lebih jauh ke utara, menurut pegawai Ukraine. – AP
