Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 maut dirempuh konvoi pengebumian

    LILONGWE, 17 JUN – Empat terbunuh manakala 12 lagi cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan yang menyertai konvoi perarakan pengebumian Naib Presiden Malawi, Saulos Chilima, di sebuah kampung semalam.

    Menurut jurucakap polis, Peter Kalaya, kemalangan itu berlaku ketika konvoi sedang membawa mendiang pemimpin berkenaan yang maut dalam nahas kapal terbang minggu lalu di kampung Ntcheu, sambil diiringi ribuan orang yang turut berkabung.

    Katanya, kereta itu bersama beberapa kenderaan polis dan tentera sedang menuju ke tempat asal mendiang di Nsipe, iaitu 180 kilometer (km) ke selatan ibu negara Lilongwe, sebelum pengebumiannya diadakan hari ini, yang juga diisytiharkan sebagai cuti umum.

    “Akibat rempuhan itu, empat pejalan kaki termasuk dua wanita mengalami kecederaan parah di kepala sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan manakala 12 lagi mengalami kecederaan,” katanya.

    Sementara itu, seorang saksi memaklumkan melihat kenderaan itu merempuh orang ramai ketika cuba mengelak daripada terlanggar mereka.

    Jurucakap parti Chilima, Felix Njawala, berkata sebelum kejadian, berlaku sedikit ketegangan berikutan orang ramai mahu kenderaan membawa keranda itu berhenti supaya mereka dapat melihat mendiang.

    “Di Dedza, orang ramai menghalang laluan untuk melihat keranda malah ada yang membaling batu ke arah kenderaan sebelum mereka ditenangkan,” katanya.

    Khamis lalu, parti pemimpin itu menuntut siasatan terhadap nahas pesawat itu.
    Chilima bersama lapan penumpang lain maut apabila sebuah pesawat tentera yang dinaiki terhempas di Hutan Chikangawa Malawi. – AFP

    Gambar fail menunjukkan Naib Presiden Malawi, Saulos Chilima, bercakap pada sidang media di kediamannya di Lilongwe. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda