TOKYO, 8 Nov – Empat penumpang disahkan terbunuh dalam nahas membabitkan sebuah helikopter, yang terhempas di kampung Ueno di wilayah Gunma, di barat laut Tokyo, menurut seorang pegawai penyelamat tempatan pada Rabu, lapor agensi berita Xinhua.
Helikopter yang digunakan untuk mengangkut barang itu, dipercayai terhempas kira-kira pukul 2.30 petang waktu tempatan, kata pegawai berkenaan.
Menurut Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Jepun, helikopter milik Toho Airways tersebut dalam perjalanan menuju ke wilayah Tochigi, di utara Tokyo, dari wilayah Yamanashi.
Menurut laporan media tempatan, seorang saksi melihat helikopter malang itu terbang rendah sebelum terhempas.
Punca nahas masih disiasat oleh anggota penyelamat dan pegawai Kementerian Pengangkutan yang dikerahkan ke lokasi kejadian. – Bernama