Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 maut, mangsa banjir dipindah guna helikopter

    WELLINGTON, NEW ZEALAND, 15 FEB – Taufan yang mengakibatkan banjir besar dan tanah runtuh di New Zealand telah meragut empat nyawa dan polis menyuarakan ‘kebimbangan besar’ terhadap nasib penduduk lain yang masih belum diketahui, kata Perdana Menteri hari ini.

    Taufan Gabrielle melanda utara negara itu pada Isnin dan telah mencetuskan banyak kemusnahan kepada negara yang berjumlah lima juta penduduk itu daripada mana-mana kejadian cuaca dalam beberapa dekad.

    Polis berkata empat orang telah disahkan terkorban akibat ribut itu, termasuk seorang kanak-kanak yang terperangkap dalam air yang meningkat naik pada hari Selasa di Teluk Hawke.

    Empat kematian berlaku dekat teluk pantai timur North Island, dua akibat tanah runtuh dan dua lagi lemas. Polis berkata 1,442 orang dilaporkan tidak dapat dihubungi di North Island setakat petang ini.

    Sebuah stesen kaji cuaca di wilayah Teluk Hawke merekodkan turunan hujan tiga kali ganda lebih banyak sejak malam Isnin berbanding biasanya untuk sepanjang bulan Februari, kata pihak berkuasa.

    Seorang kanak-kanak diselamatkan dari bumbung sebuah rumah menggunakan helikopter di Lembah Esk, dekat Napier, New Zealand. – AP
    Rumah-rumah di Lembak Esk yang dibanjiri. – AP

    Perdana Menteri Chris Hipkins berkata tidak jelas berapa ramai orang yang masih tidak dapat dikesan, dengan beberapa komuniti masih terputus akibat banjir, tanah runtuh dan gangguan telekomunikasi.

    “Kami menjangkakan sebahagian besar penduduk yang terjejas akan diambil tindakan segera. Walau bagaimanapun, terdapat bebe-rapa orang yang hilang dan polis menyuarakan kebimbangan yang serius,” kata Hipkins kepada pemberita.

    Beliau berkata 1,111 orang telah dilaporkan ditemui hari ini, yang akan membatalkan sebahagian daripada mereka yang dilaporkan tidak dapat dihubungi. Kira-kira 9,000 orang telah diarahkan berpindah sejak Isnin.

    Lebih 300 orang diselamatkan kelmarin dari kawasan Teluk Hawke, termasuk 60 terkandas di atas bumbung, kata seorang pegawai.

    Sementara itu, 25 operasi menyelamat terakhir individu dan kumpulan keluarga dijangka selesai hari ini.

    Hipkins berkata tujuh operasi menyelamat masih belum dimuktamadkan hari ini. Beliau tidak menyatakan berapa ramai yang masih belum ditemui, tetapi berkata tiada sesiapa dalam bahaya.

    Selain operasi menyelamat, kerajaan mengutamakan pemulihan bekalan elektrik dan telekomunikasi serta menghantar makanan, air dan ubat-ubatan ke tempat yang memerlukan, kata Hipkins.

    Sebuah kapal tentera laut meninggalkan Auckland lewat hari ini dengan membawa air minuman untuk komuniti Teluk Hawke dan sebuah lagi kapal akan menyusul membawa bekalan penting esok.

    Sebuah helikopter akan menurunkan air botol untuk 3,000 orang malam ini. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda