4 negara Travel Green List dalam percubaan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Setakat ini, empat buah negara iaitu Australia, China, Singapura dan United Kingdom sahaja yang ditetapkan dalam Travel Green List pada saat negara membuka semula kelonggaran penerbangan menerusi pengangkutan udara pada Fasa Awal Endemik ini.

“Adapun penetapan negara-negara dalam Travel Green List yang bakal bermula pada 1 Januari 2022 merupakan percubaan sahaja berdasarkan keadaan sistem tahap kesihatan negara-negara tersebut,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika mengulas faktor-faktor dalam penetapan negara-negara dalam Travel Green List pada sidang media, petang tadi.

“Jika perlaksanaan dan kawalan keluar dan masuk negara ke negara-negara tersebut berjalan dengan baik maka penambahan-penambahan ke negara-negara lain turut akan menyusul nanti,” tambahnya.

Berikutan mengenai beberapa negara di dunia telah mencegah kedatangan pelancong dari United Kingdom berikutan peningkatan kes jangkitan Omicron, Yang Berhormat Dato turut berkongsi varian Omicron memiliki kadar jangkitan berkemungkinan dua kali ganda dari varian Delta tetapi melihat dari segi gejala yang dihidapi oleh pesakit-pesakitnya adalah jauh lebih rendah berbanding Delta.

“Disebabkan ia sebagai va-rian yang cepat merebak, dijangka Omicron ini akan menjadi varian dominan beberapa bulan mendatang.

“Pastinya apa yang diharapkan ialah persediaan kita semua dalam melaksanakan segala SOP demi sama-sama mengawal jangkitan ini dari berlaku,” tekan Yang Berhormat Dato lagi.