Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Rombongan seramai empat orang Pegawai Haji Darussalam Services Sdn Bhd berlepas ke Arab Saudi untuk membuat persediaan awal bagi mengalu-alukan ketibaan jemaah haji di bawah pakej Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB).
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, untuk mengucapkan selamat belayar kepada rombongan berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Rombongan Pegawai Haji berkenaan diketuia oleh Pengarah Urusan Haji Mahmud bin Haji Mohamed di mana beliau menyatakan bahawa pihaknya akan mengadakan beberapa siri mesyuarat dengan pelbagai pihak bagi memastikan semua perancangan mengenai logistik seperti hotel, pengangkutan dan penyusunan bilik serta makanan berjalan dengan lancar.
Turut menyertai rombongan berkenaan ialah Penolong Pengurus Am, Jabatan Haji dan Umrah, Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Bakar serta dua orang kakitangan dari Jabatan Haji dan Umrah, DSSB.
Bagi musim haji 1445H/2024M, daripada jumlah 1,000 kuota yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi, seramai 619 bakal jemaah akan mengikuti pakej DSSB dalam tiga pakej iaitu Pakej Delima (Premium), Pakej Safira (Sederhana) dan Pakej Zamrud (Ekonomi) dan 16 orang pegawai.
Sebanyak empat penerbangan haji telah diaturkan untuk membawa para bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang akan mula berangkat pada 23 Mei bagi penerbangan pertama, seterusnya 24 Mei bagi penerbangan kedua, 25 Mei bagi penerbangan ketiga dan 26 Mei bagi penerbangan keempat.
Pada tahun ini, DSSB berbesar hati memberikan cenderahati berupa bagasi dan pelbagai barangan serta buku panduan kepada setiap bakal jemaah haji di mana sebahagian cenderahati akan diagihkan selepas taklimat.