Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 pegawai KHEU, KKBS hadiri SOM MABIMS ke-47

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Empat pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) selaku perwakilan Negara Brunei Darussalam kelmarin berlepas meninggalkan negara bagi menghadiri Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) MABIMS kali ke-47.

    Mesyuarat diadakan hari ini hingga 14 November bertempat di Parkroyal On Beach Road, Republik Singapura.

    Perwakilan negara diketuai oleh Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, selaku Ketua SOM MABIMS Negara Brunei Darussalam.

    Turut menyertai rombongan ialah Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim, selaku Ketua Sekretariat MABIMS Brunei; Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, KKBS, Dayang Zainab binti Morshidi, selaku ahli Jawatankuasa Negara Penyelaras Potensi Belia Islam MABIMS; dan Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat I di Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Pengiran Muhammad Azrin bin Pengiran Jarail, selaku Pegawai Sekretariat MABIMS Brunei.

    Hadir bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Haji Mohammad Rosli dan para pegawai yang mewakili negara ke SOM MABIMS kali ke-47 bergambar ramai. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Menurut kenyataan, SOM MABIMS kali ke-47 membawa tema Kesepakatan dalam Kesinambungan Beragama.

    Penglibatan Negara Brunei Darussalam pada mesyuarat ini merupakan komitmen negara selaku negara anggota MABIMS.

    Dalam mesyuarat tersebut, perwakilan Negara Brunei Darussalam akan membentangkan Kertas Tema melalui perspektif Brunei dan Laporan Rancangan Strategik di bawah Rancangan Strategik MABIMS 2021–2025, iaitu perkembangan berkaitan Bidang Kerjasama Potensi Belia Islam MABIMS.

    Kertas Tema akan dibentangkan oleh Penolong Pendaftar di Fakulti Bahasa Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin, yang juga merupakan aktivis belia tempatan.

    Perwakilan Negara Brunei Darussalam juga akan membentangkan laporan Projek Kerjasama Penerbitan Tafsir ‘Ilmi (Ayat-ayat Kauniyyat) MABIMS, iaitu projek terbitan bersama negara-negara anggota MABIMS yang diselaraskan oleh Negara Brunei Darussalam.

    Di samping itu, rombongan perwakilan negara akan bertukar-tukar pandangan bagi mempertingkatkan lagi perancangan dan penyelenggaraan fokus strategik di peringkat MABIMS.

    Rombongan nanti akan menyertai Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama di Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi MABIMS kali ke-20, yang akan diadakan pada 15 hingga 17 November di tempat yang sama.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda